Isnin, 25 Mac 2013

England berdepan cabaran berliku



JOE Hart mempunyai tugas berat bagi memastikan gawang England tidak dibolosi apabila berdepan Montenegro di tempat lawan Rabu ini.


SERRAVALLE, San Marino - Skuad England berdepan misi sukar meraih tiga mata ketika berdepan pendahulu Kumpulan H, Montenegro dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 di Podgorica awal pagi Rabu ini.

Jika menang, skuad kendalian Roy Hodgson bakal memiliki kelebihan satu mata di depan Montenegro yang kini selesa mengutip 13 mata.

Namun jika tewas, The Three Lions bakal ketinggalan lima mata, sekali gus menyukarkan peluang mereka menyambar slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia di Rio De Janeiro, Brazil tahun depan.
Justeru, penjaga gol utama England, Joe Hart mahu rakan-rakan sepasukannya mempamerkan aksi luar biasa ketika berdepan Montenegro kelak.

"Ia satu perlawanan yang cukup mendebarkan buat kami. Kami semakin menghampiri pusingan akhir Piala Dunia, jadi kami perlu memberikan yang terbaik," kata Hart.

Ketika kempen kelayakan Euro 2012 di Podgorica dua tahun lalu, England mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum terikat 2-2 yang menyaksikan penyerang mereka, Wayne Rooney diperintah keluar padang.
"Ketika itu, kami mungkin dibuai perasaan selesa sehingga hanya membawa pulang satu mata.

"Ia tidak seharusnya berulang kali ini kerana kami perlu beraksi cemerlang berdepan pasukan yang bagus seperti Montenegro.

"Jika kami berjaya memenangi beberapa perlawanan lagi selepas ini, tidak mustahil kami akan layak ke Piala Dunia," kata Hart.

Pada masa sama, Hart juga enggan memandang mudah keupayaan Montenegro biarpun kurang diuji ketika mereka membelasah San Marino 8-0 kelmarin.
"Tiada bezanya buat saya. Fokus saya sentiasa kekal memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
"Hanya kerana saya kurang diuji ketika berdepan San Marino, ia tidak bermakna saya memandang mudah aksi berdepan Montenegro," tegasnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan