Isnin, 11 Mac 2013

De Gea pastikan Man. United terselamat


Pemain Chelsea, Demba Ba (kiri) diasak dua pemain Manchester United, David de Gea (kanan) dan Rio Ferdinand dalam saingan suku akhir Piala FA di Old Trafford, semalam. Kedua-dua pasukan terikat 2-2. - AFP 
 
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menghamburkan pujian kepada penjaga gol, David De Gea yang menyelamatkan percubaan berbahaya Juan Mata pada minit terakhir permainan sekali gus menyelamatkan Red Devils daripada tersingkir dalam saingan Piala FA.

United mendahului 2-0 pada 11 minit perlawanan tetapi Chelsea bangkit menyamakan kedudukan melalui aksi menakjubkan pada babak kedua.

Chelsea hampir mendapatkan gol kemenangan apabila Mata melakukan percubaan menarik ke arah penjuru pintu gol United selepas bijak memperdayakan Jonny Evans.

Namun, De Gea dapat menghalang bola itu daripada merobek gawang gol apabila tertampan kakinya dan memastikan United masih berpeluang menjuarai Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2004.

''Itu memang satu aksi menyelamat terbaik yang pernah saya saksikan. Saya telah menonton ulang tayang dan ia memang cukup penting kerana memang tidak ragu lagi kami pasti akan tersingkir jika bola itu masuk ke dalam gawang," kata Ferguson.

United seakan melangkah ke separuh akhir dengan mudah apabila Javie Hernandez dan Wayne Rooney meletakkan tuan rumah di hadapan di Old Trafford.

Namun, penguasaan mutlak mereka berakhir di separuh masa kedua apabila Eden Hazard dan Ramires mengikat United dan Ferguson menjadikan alasan perlawanan menentang Real Madrid sebagai punca pemainnya keletihan.

''Saya tidak bersikap terlalu kritikal terhadap para pemain saya tetapi mereka memang keletihan selepas perlawanan dengan Real Madrid baru-baru ini, tiada keraguan lagi," katanya kepada saluran televisyen MUTV.

Kebangkitan yang ditunjukkan oleh Chelsea itu memberikan satu isyarat positif kepada Rafael Benitez yang berdepan banyak kesukaran semenjak menggantikan tempat Roberto Di Matteo yang dipecat pada November lalu.

Tindakannya yang meletakkan Hazard dan John Obi Mikel daripada memilih Frank Lampard dan Vistor Moses di awal separuh masa kedua dipersoalkan oleh penyokong tetapi ternyata perjudiannya membuahkan hasil.

''Saya seorang yang profesional dan kami telah pergi ke Romania sebelum ini dan saya tahu mereka agak sedikit keletihan.

''Kami terpaksa memikirkan kesebelasan utama dengan pemain-pemain yang tidak keletihan tetapi kami perlu juga melakukan pertukaran jika keadaan tidak menjadi dan ia berhasil," katanya.

United mempunyai kelebihan dua hari membuat persediaan berbanding Chelsea dan Benitez berkata statistik itu menunjukkan skuadnya lebih bertenaga. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan