Jumaat, 8 Mac 2013

Konsert Sofea, Jinbara dan Bunkface 13 Mac depan


SHAH ALAM 8 Mac - Buat julung kalinya, para peminat muzik tanah air berpeluang untuk melihat persembahan kumpulan rock dari tiga era dalam satu konsert yang akan diadakan di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam pada 13 Mac ini.

Para peminat akan berpeluang untuk kembali menyaksikan kehebatan persembahan kumpulan rock yang pernah menggegarkan dunia muzik tanahair dengan lagu-lagu Bunga Padang Pasir, Anak Liar dan Hati Syaitan iaitu Sofea.

Sofea yang juga dikenali dengan nama SYJ akan berganding dengan kumpulan Jinbara yang popular dengan lagu Resah, Farhana, Patah Pusing, Nilai Cinta,
Jerangkung Bernyawa sekitar tahun 2000-2005

Selain itu, Konsert Di hatiku yang merupakan projek akhir pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM turut akan dijayakan oleh kumpulan Bunkface yang popular dengan lagu Revolusi dan Situasi.

Menurut pegawai publisiti penganjur konsert, Nur Syahirah Abd. Majid, apa yang menarik ialah, ketiga-tiga kumpulan berkenaan dipilih untuk membuat persembahan berdasarkan pungutan suara yang dilakukan ke atas lebih 100 pelajar fakulti tersebut.

"Kami cuba untuk membuat kelainan dengan mengadakan satu konsert mengikut citarasa penonton dan ketiga-tiga kumpulan inilah yang mendapat pilihan paling tinggi dalam pungutan suara yang kami lakukan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Syahirah, setakat ini sebanyak 400 daripada 1,500 tiket-tiket konsert bernilai RM25 dan RM50 telah terjual sejak tiket-tiket berkenaan mula dijual dua hari lepas.

Jelas beliau, bagi mereka yang berminat, tiket-tiket konsert tersebut masih boleh diperolehi di UiTM Shah Alam, I-City Shah Alam, Space U8, Plaza Masalam, Giant Shah Alam, dan disekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai konsert tersebut boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Publisiti, Konsert Di Hatiku di talian 013-7089805. - UTUSAN Online

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan