MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mempertahankan
tindakan pemain pertahanan, Rio Ferdinand (gambar) untuk menarik diri
daripada menyertai skuad kebangsaan England baru-baru ini.
Pemain pertahanan tengah itu yang tidak beraksi di pentas
antarabangsa sejak dua tahun lalu kembali disenaraikan jurulatih skuad The Three Lions, Roy Hodgson bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro.
Bagaimanapun, bekas pemain Leeds United itu menarik diri daripada menyertai pasukan kebangsaan atas faktor kecederaan.
Dia turut mencetuskan kontroversi apabila terbang ke Qatar untuk
memberikan liputan perlawanan England menentang San Marino sebagai panel
jemputan televisyen.
Ferdinand dilaporkan masih berminat untuk beraksi bersama skuad The Three Lions
namun enggan berbuat demikian selepas mendengar ejekan dari
penyokong-penyokong fanatik ketika menyaksikan skuad kendalian Hodgson
membelasah San Marino 8-0 pada Jumaat lalu.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menyiasat ejekan
berbentuk sorakan yang berunsurkan perkauman yang ditujukan kepada
Ferdinand atau adiknya, Anton yang beraksi bersama Queens Park Rangers
(QPR).
Ferguson yakin bintang United itu akan menangani situasi tersebut
dengan baik dan beliau tidak kisah pemain veteran itu terbang ke Qatar.
"Saya berpendapat Ferdinand melakukan perkara yang betul dengan
menarik diri dari skuad England selepas bertemu dengan Hodgson dan saya
yang menggalakkan dia berbuat demikian," kata Ferguson.
"Saya jangkakan dia bersemuka dengan Hodgson untuk membuat
penjelasan. Apa yang saya tahu, Hodgson tidak mempunyai masalah bersama
Ferdinand selepas beliau mendengar penjelasan itu.
"Mengenai isu Ferdinand ke Doha, ia langsung tidak menganggu saya.
"Pemain-pemain United diberikan tiga hari cuti (Jumaat, Sabtu dan
Ahad lalu) dan ketika itu, berlangsung perlawanan antarabangsa. Jadi,
dia berhak untuk melakukan apa yang dia mahu," katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan