Jumaat, 29 Mac 2013

Nasib Borji, Klechkaroski ditentukan minggu depan



BORJI (dua dari kiri) dan Klechkaroski (dua dari kanan) masih gagal menampilkan aksi terbaik bersama Pahang musim ini.


NASIB pemain import Pahang, Mohamed Borji dari Maghribi dan Nikol Klechkaroski dari Macedonia akan ditentukan pada minggu hadapan, lapor SHAHRULANOOR ISHAK.

Pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berkata, ia berikutan prestasi kedua-dua penyerang tersebut yang masih gagal mencapai tahap yang dikehendaki.

"Sudah sampai separuh musim tetapi kedua-dua mereka masih berada di bawah tahap yang kami inginkan.

"Juga sudah sampai waktu untuk kami membuat keputusan ke atas mereka.

"Selama ini mereka tidak banyak membantu pasukan selain gagal bergandingan dengan pemain-pemain tempatan ketika berada di atas padang," kata beliau semasa dihubungi pemberita di Kuantan semalam.

Che Nasir menambah, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) kini sedang menimbang untuk mengambil khidmat pemain import baharu bagi menggantikan Borji dan Klechkaroski.

Tambah beliau, seramai tiga pemain masing-masing dari Brazil, Jamaica dan New Zealand sedang dipertimbang PBNP sejak beberapa minggu lalu.

"Ketiga-tiga pemain itu beraksi di posisi penyerang dan pertahanan. Kami bercadang untuk membawa masuk dua daripada mereka.

"Jika PBNP berpuas hati dengan prestasi mereka, kemungkinan urusan membawa masuk pemain-pemain itu akan diselesaikan pada minggu hadapan," katanya.

Mengulas perlawanan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini, Che Nasir berkata, skuad Tok Gajah masih kekal dengan semangat untuk membawa pasukan itu ke tangga terbaik Liga Super.

"Pasukan sudah lama berehat dan setiap pemain kini berada pada kondisi terbaik untuk menghadapi T-Team.

"Kami juga masih kekal dengan semangat untuk membawa Pahang di tangga yang membanggakan dalam liga," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan