Isnin, 18 Mac 2013

Sharapova tekad sekat Wozniacki


WOZNIACKI bersedia hadapi ancaman Sharapova.


INDIAN WELLS, California - Maria Sharapova sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan apabila turun beraksi menentang Caroline Wozniacki pada final Kejohanan Tenis Masters Indian Wells.

Wozniacki, sama seperti Sharapova, merupakan bekas pemain No. 1 dunia dan bekas juara di Indian Wells.
Pemain dari Denmark itu terkenal dengan corak permainan yang berbeza dan gemar membuat hantaran ke garisan belakang, sekali gus menyukarkan lawannya untuk melakukan pukulan balas.

"Dia seorang pemain yang sukar untuk ditewaskan," kata pemain pilihan kedua dari Rusia, Sharapova.
"Dia akan memaksa kamu bekerja keras di atas gelanggang dan banyak melakukan hantaran ke belakang serta menampilkan corak permainan yang berbeza.

"Sudah tentu saya tidak mahu memberinya ruang untuk bermain seperti itu kerana dia seorang pemain yang hebat.

"Dia amat berbahaya apabila memiliki peluang terbuka, dan dia juga akan memperdaya kamu di segenap gelanggang," katanya lagi.

Sharapova, juara edisi 2006 kejohanan ini, mara ke final selepas menang 6-4, 6-3 ke atas rakan senegara, Maria Kirilenko manakala pilihan kelapan, Wozniacki dipaksa berhempas pulas sebelum mara dengan kemenangan 2-6, 6-4, 7-5 ke atas pilihan keempat, Angelique Kerber dari Jerman.

Wozniacki, 22, yang menjuarai edisi 2011 dengan mengalahkan Marion Bartoli di final, mempunyai rekod kemenangan 2-4 yang tidak memihak kepadanya ketika ini.

"Corak permainannya sangat agresif, dia akan cuba membalas setiap pukulan," kata Wozniacki. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan