Ahad, 31 Mac 2013

Rodgers tidak hirau spekulasi

SUAREZ (kiri) dilaporkan bakal meninggalkan Liverpool pada akhir musim ini.


LONDON - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan bahawa beliau tidak berasa panik apabila mendengar spekulasi mengenai perpindahan penyerang sensasi Uruguay, Luis Suarez pada akhir musim ini.
Rodgers menyuarakan keyakinan itu menjelang aksi Liga Perdana England menentang Aston Villa di Villa Park malam ini.

Suarez, 26, dilaporkan diintai beberapa kelab gergasi Eropah seperti Paris Saint Germain, Juventus dan Manchester City selepas Liverpool hampir pasti tidak beraksi pada kempen Liga Juara-Juara musim depan.
Malah, Suarez turut mendedahkan keinginan untuk beraksi bersama pasukan yang bermain pada pertandingan paling berprestij di Eropah itu ketika mengetuai pasukan kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014 minggu lalu.

Liverpool sudah pasti tidak mahu kehilangan Suarez yang telah menjaringkan 29 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Bagaimanapun, Rodgers berharap peminat-peminat skuad The Reds tidak bimbang akan kehilangan 'permata' paling berharga pasukan itu.

"Saya belum bercakap dengan Suarez. Dia tidak menyertai sesi latihan pasukan semalam (kelmarin) dan kami telah menghantar pasukan perubatan untuk memantau perkembangannya.

"Saya juga sedar para peminat tidak mahu kehilangan seorang pemain paling berharga dalam pasukan dan pada pendapat saya, dia (Suarez) gembira berada di sini," kata Rodgers.

Dalam pada itu Rodgers berkata, beliau sentiasa menasihati para pemainnya agar bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.

"Apabila anda bersama Liverpool, anda hanya perlu bercakap mengenai Liver- pool dan begitu juga ketika bersama skuad kebangsaan.

"Jadi, apa yang dikatakan ketika dia bersama Uruguay adalah tidak wajar dan tidak baik untuk Liverpool," kata Rod- gers. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan