Isnin, 11 Mac 2013

Arab Saudi ukur kemampuan kita

Oleh FERZALFIE FAUZI

K. Rajagobal cuba merampas bola daripada kawalan pemain skuad kebangsaan, Abdul Manaf (kiri) dalam latihan pasukan Harimau Malaya di padang Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam. Malaysia akan menentang Arab Saudi pada perlawanan persahabatan 17 Mac ini. - UTUSAN/Izham Jaafar 
 
PETALING JAYA - Bukan persahabatan biasa, tetapi ukuran awal menguji tahap pemain.

Itu penjelasan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal selepas ditanya tentang persiapan anak-anak buahnya menguji kemampuan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 17 Mac ini.

Katanya, pertemuan tersebut akan digunakan sebaik mungkin oleh anak-anak buahnya terutama sekali dalam berebut tempat dalam kesebelasan utama bertemu Yemen, lima hari selepas itu di gelanggang yang sama.

"Saya juga tidak berasa terjejas dalam persiapan pasukan ini walaupun pada sesi pertama hari ini (semalam), sembilan pemain tidak dapat hadir melaporkan diri kerana mempunyai tugas bersama pasukan Selangor dan Kelantan dalam saingan Piala AFC," katanya ketika ditemui media sebelum sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.

Sembilan pemain yang telah dinyatakan Rajagobal ialah Norazlan Razali, Abdul Shukur Jusoh, Mohd. Amri Yahyah, Mahalli Jasulli dari Selangor serta Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Bahdri Mohd. Radzi, Nik Shahrul Azim dan Shakir Shaari (Kelantan).

Jelasnya, dia tidak risau tentang kelewatan pemain Selangor dan Kelantan yang lambat melapor diri untuk bersama pemain lain kerana dia tidak berhak menghalang mereka.

"Saya mempunyai tempoh dua atau tiga hari sebelum perlawanan menentang Arab Saudi untuk menilai tahap kecergasan mereka tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan situasi tersebut.

"Kita juga akan menilai tahap kemampuan pemain yang mengalami kecederaan seperti K. Reuben, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak," kata Rajagobal.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan