LONDON - Kegagalan memenangi trofi Liga Perdana England selepas
perlawanan terakhir di Sunderland tahun lalu menjadi suntikan motivasi
kepada Manchester United sepanjang musim ini.
Bagaimanapun, situasi tahun ini sangat berbeza apabila skuad The Red Devils akan berkunjung ke Stadium of Light malam ini dengan kelebihan 15 mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.
Ketika United menghadapi perlawanan terakhir di Sunderland pada Mei
tahun lalu, para pemain sudah bersiap sedia untuk meraikan kejayaan
merangkul gelaran liga ke-20 setelah menang 3-1.
Namun, dua jaringan lewat yang diperoleh City untuk mengatasi Queens
Park Rangers 3-2 dalam satu lagi aksi menyebabkan United berputih mata.
Keputusan itu menyaksikan City muncul juara berdasarkan kelebihan jaringan meskipun kedua-dua pasukan berkongsi 89 mata.
Kejayaan menewaskan Sunderland malam ini pastinya memberikan
kelebihan kepada anak-anak buah Alex Ferguson untuk menjulang trofi
lebih awal kempen musim ini.
"Kami pernah datang ke sini (Stadium of Light) musim lalu dan ketika
itu, kami menganggap peluang kami untuk menjulang trofi sangat cerah.
"Namun, apabila kami dikecewakan City pada saat-saat akhir,
kekecewaan seperti itu ternyata lebih sukar untuk digambarkan dengan
kata-kata.
"Jadi, kami tidak mahu diselubungi kekecewaan seperti itu," kata pemain pertahanan United, Chris Smalling.
Dalam pada itu, Ferguson turut membayangkan untuk merombak skuad
utamanya ketika berdepan Sunderland kerana mereka memiliki misi yang
lebih besar berdepan Chelsea pada aksi ulangan suku akhir Piala FA di
Stamford Bridge, Isnin ini.
"Kami perlu mengekalkan konsentrasi kerana kedua-dua perlawanan ini cukup penting buat kami.
"Jadi, saya harus memilih pasukan yang terbaik supaya kami
benar-benar cergas mengharungi kedua-dua perlawanan itu," kata Ferguson.
Kedua-dua pasukan sebelum ini sekadar seri 2-2 di Old Trafford pada 11 Mac lalu.
Jika berjaya mengatasi Chelsea, United bakal membuat perhitungan dengan City pada saingan separuh akhir nanti. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan