Rabu, 13 Mac 2013

Malang sungguh The Gunners



JACK WILSHERE (dua dari kiri) antara tonggak utama yang terpaksa diketepikan kerana ditimpa kecederaan buku lali.


LONDON - Arsenal kini berdepan krisis kecederaan menjelang pertemuan dengan Bayern Munich dalam aksi kalah mati kedua Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.

Pemain perancang, Jack Wilshere hampir pasti terlepas aksi hidup dan mati The Gunners itu selepas cedera di buku lali ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspur minggu lalu.

Pemain penyerang, Lukas Podolski dan pertahanan kanan, Bacary Sagna pula disahkan tiada dalam senarai skuad Arsenal.

Wilshere, 21, diberi pelepasan beberapa hari selepas pertemuan dengan Spurs dan dia dikatakan terbang ke Dubai bagi mendapatkan rawatan bagi kecederaannya itu.

Bagaimanapun, kecederaan tersebut masih belum pulih dan dia dijangka boleh beraksi pada pertemuan dengan Swansea, Sabtu ini.

Podolski juga mengalami kecederaan buku lali manakala Sagna dilaporkan bakal terlepas aksi dengan Bayern dan Swansea kerana kecederaan lututnya masih belum pulih sepenuhnya.

Pemain kebangsaan England, Carl Jenkinson akan mengisi tempat Sagna di pertahanan kanan pada aksi awal pagi esok dalam usaha Arsene Wenger memperkuatkan barisan pertahannya.

Pertahanan kiri, Kieran Gibbs masih belum cergas selepas pulih daripada kecederaan paha, sekali gus berkemungkinan menyaksikan Thomas Vermaelen terpaksa bermain di posisi berkenaan.

Bagaimanapun, penjaga gol, Lukasz Fabianski disahkan cergas untuk menggantikan tempat Wojciech Szczesny pada pertemuan itu nanti.

Sementara itu, pemain penyerang, Olivier Giroud berharap Arsenal mampu menembusi gol Bayern Munich lebih awal dan tidak melakukan sebarang kesilapan.

The Gunners berdepan tugas getir dalam misi mereka mara ke suku akhir selepas tumpas 1-3 pada aksi pertama di Stadium Emirates.
"Kami perlu menjaringkan gol lebih awal," kata Giroud.

"Dalam bola sepak, kamu tidak akan tahu apa yang bakal berlaku. Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan kekal fokus dalam permainan.

"Namun, kami juga perlu memperbaiki lagi kubu pertahanan kami dengan lebih baik supaya tidak lagi melakukan kesilapan yang boleh membawa padah," jelasnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan