|
PENJENAMAAN baharu yang menghasilkan nama Salwa Razak daripada nama
terdahulu Arora Salwa merupakan permulaan kehidupan baharu pemilik nama
itu.
Tegas penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Ahmad, nama Salwa Razak adalah kebangkitan semula daripada kegagalan.
“Imej baharu dan pendekatan yang lebih terkini diharapkan menjamin sebuah karier yang lebih kukuh dan stabil.
“Saya kira, perlu untuk saya menukarkan imej yang lebih feminin
dengan nama dan aliran muzik yang baharu,” katanya ketika sidang akhbar
pelancaran single terbaharu berjudul Hidup Baru di Hard Rock Cafe, Kuala
Lumpur baru-baru ini.
Lagu Hidup Baru menampilkan vokal Salwa Razak yang lebih lantang
menerusi genre balada, malah liriknya juga mengandungi makna tersirat
bagi penyanyi itu.
“Balada adalah jiwa saya dan bersama pasukan baharu ini, saya diberi
kepercayaan untuk memilih sendiri genre lagu yang saya mahukan. Gagal
atau berjaya, saya serahkan kepada peminat untuk menilai,” tambahnya
yang kini bernaung di bawah JJS Partners Solution Sdn. Bhd.
Salwa yang memulakan karier sebagai penyanyi pada tahun 2010 pernah
tampil menerusi single berentak catchy berjudul Ahmad dan Kau Tak
Menarik Lagi sepanjang bernaung di bawah label Sony Music dari tahun
2010 hingga bulan Oktober tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kisah kontroversi percintaan
yang pernah melibatkan Salwa dan anggota kumpulan Max 24:7, Alloi,
penyanyi itu bertegas mahu melupakan kisah silam.
“Saya seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.
“Saya harap selepas ini tidak akan ada lagi kontroversi mengenai saya
dan jika ada perbuatan yang tidak patut saya lakukan, tegurlah saya
secara peribadi dan saya akan menerimanya dengan positif. Segalanya
baharu buat saya sekarang dan perkara lepas adalah ujian bagi saya.
“Kontroversi menyebabkan karier tercemar dan mungkin saya sendiri ada
membuat kesilapan pada masa lampau. Tapi sekarang saya lebih matang
untuk belajar tentang kehidupan,” getusnya.
Salwa juga enggan dikaitkan dengan mana-mana pihak malah dia juga enggan menerima komen daripada pihak lain mengenai dirinya.
“Pihak yang bercerita mengenai diri saya tanpa usul periksa adalah
kurang bijak dan orang seperti itu tidak boleh melihat kejayaan orang
lain. Bertindak dan berfikirlah secara positif.
“Suka hatilah dia mahu buat apa, bagi saya ibaratnya masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya.
Dikecewakan cinta bukan bermakna harus mengalah selamanya. Kata
Salwa, dia tidak serik bercinta malah dia kini bersedia untuk kembali
cinta baharu.
“Bukan serik dan saya juga tidak pernah berhenti mencari cinta baharu
tapi pendirian saya sekarang adalah mengikut arus yang ada di hadapan
saya.
“Kalau ada jodoh maka adalah. Saya kena memilih dan enggan pisang
berbuah dua kali. Buat masa sekarang saya tiada sesiapa dan saya
berkawan dengan semua orang.
“Kalau ditanya mengenai kisah cinta sebelum ini, saya sudah maafkan
dia, tapi saya tidak akan melupakan perkara yang telah berlaku,” tegas
Salwa. – KHAIRUL AMRI HASSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan