PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah sudah lali dilanda kontroversi.
Keputusan badan induk itu memperkenalkan peraturan yang buat
julung-julung kalinya membenarkan tiga pemain tempatan menyertai pasukan
lain sebaik pendaftaran pemain dibuka semula April depan pastinya
mengundang polemik baharu dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.
Biarpun Peraturan Am 4.5.5 Liga Malaysia (2013-2016) hanya
membenarkan tiga pemain berkenaan berhijrah jika mendapat 'lampu hijau'
daripada majikan asal, masa depan pemain tertentu, terutamanya yang
gagal mencapai prestasi memberangsangkan seolah-olah berada 'di hujung
tanduk' sekiranya dijual kepada mana-mana pasukan.
Begitupun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM,
Datuk Hamidin Mohd. Amin berharap peraturan baharu itu dilihat dari
sudut positif.
Hamidin berkata, peraturan itu memberikan peluang sama rata kepada
pasukan bagi menggantikan pemain yang cedera atau gagal mencapai aksi
terbaik ketika pendaftaran pemain dibuka pada 8 hingga 22 April depan.
"Setiap pasukan hanya dibenarkan mendaftar tiga pemain tempatan
baharu sama ada secara pinjaman atau pendaftaran baharu dengan syarat
pemain itu mendapat pelepasan daripada pasukan asal.
"Selain itu, peraturan baharu ini turut merangkumi dua pemain import
baharu seperti mana musim sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di
Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Timbalan JKPT, Datuk Affendi Hamzah.
Hamidin memberitahu, peraturan baharu itu tidak bercanggah dengan
garis panduan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA), selain pihaknya juga tidak menolak kemungkinan menggubal semula
peraturan berkenaan supaya mana-mana pasukan boleh merombak sepenuhnya
pasukan masing-masing pada masa akan datang seperti mana Liga Perdana
England.
Kelima-lima pemain baharu yang bakal didaftarkan itu juga tidak
mempunyai tempoh menunggu dan dibenarkan beraksi sebaik permohonan
diluluskan.
"Ketika ini, kami masih belum menerima permohonan daripada mana-mana pasukan berhubung pendaftaran pemain baharu tersebut.
"Bagi pemain import baharu, setiap pasukan perlu mendapatkan sijil
perpindahan antarabangsa (ITC) seperti biasa manakala bagi pemain
tempatan, setiap permohonan akan ditolak sekiranya gagal mendapat
pelepasan majikan asal," jelasnya.
Sementara itu, Hamidin turut mengesahkan aksi persahabatan
antarabangsa antara Harimau Malaya dan Singapura yang akan diadakan
secara timbal balik pada 4 dan 7 Jun depan.
"Aksi playoff Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai juga bakal bermula pukul 9.45 malam bagi menghormati Ramadan.
"Aksi itu membabitkan pertemuan antara pasukan tercorot Liga Super
bertemu pasukan kelima Liga Premier manakala pasukan ke-11 Liga Super
bakal berdepan pasukan keenam Liga Premier," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan