Jumaat, 29 Mac 2013

Kim Swee masih belum 'panik'


PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee masih enggan menekan ‘butang panik’.

Biarpun anak-anak buahnya menerima tamparan awal sebaik dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia di Vienna, Austria pada Selasa lalu, Kim Swee menganggap ia sebagai pengajaran berguna buat skuad muda negara.

“Kekalahan kepada Georgia tempoh hari akan dijadikan iktibar buat Harimau Muda.

“Ia akan membantu kami memperbaiki kelemahan dan akan berusaha lebih gigih selepas ini,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Sebelum ini skuad Harimau Muda juga sekadar terikat 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia minggu lalu.

Perlawanan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu fokus anak-anak buahnya tidak terjejas dengan kekalahan itu dan kembali menyambung sesi latihan.

“Setiap usaha dan sikap ingin memperbaiki kelemahan bagi semua pemain pastinya akan mendatangkan keputusan positif pada masa depan,” katanya.

Selepas ini, Harimau Muda bakal meneruskan aksi persahabatan menentang kelab Slovakia, Zilina di Vion pada 3 April depan sebelum berdepan B-19 Norway di Budapest tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, perkhabaran gembira menyelubungi dua tonggak Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim yang tidak berdepan masalah ketika menjalani latihan bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu di Okinawa semalam.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu tidak turut serta berlepas ke Slovakia baru-baru ini kerana menyertai FC Ryukyu dengan kontrak selama dua tahun.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan