|
JURULATIH skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal nampaknya baru
sedar bahawa pemain bola sepak negara kekurangan sifat-sifat semula jadi
sebagai seorang penyerang berwibawa.
Rajagobal menjelaskan demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya
tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa
di Stadium Shah Alam, Selangor malam kelmarin.
Menurutnya, ketiadaan penyerang berbisa, Mohd. Safee Sali yang
dilanda kecederaan serius, memaksa beliau meletakkan Norshahrul Idlan
Talaha selaku penyerang tunggal pada perlawanan tersebut.
"Kita sekarang menghadapi masalah kekurangan penyerang semula jadi.
Pemain lain seperti Mohd. Amri Yahyah dan Azamuddin Mohd. Akil lebih
sesuai beraksi di posisi sayap dan tengah.
"Saya berharap Wan Zack Haikal Wan Nor yang masih cedera mampu pulih
untuk memperkukuhkan jentera serangan menjelang aksi menentang Yemen,
Jumaat ini,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Skuad Harimau Malaya akan menentang Yemen pada perlawanan kedua
kumpulan D pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam
Jumaat ini.
Meskipun menyedari kelemahan tersebut, Rajagobal bagaimanapun sudah
mendapat bayangan skuad terbaik bagi mengekang ancaman Yemen dalam
kempen kelayakan itu nanti.
Ironinya, ilham sedemikian hadir selepas skuad negara teruk ‘dikerjakan’ Arab Saudi dengan kekalahan besar malam kelmarin.
Enggan ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang, Rajagobal
sebaliknya menegaskan perbezaan ketara antara pasukan negara dan Arab
Saudi merupakan satu kenyataan meskipun pahit untuk diterima.
“Tetapi, kita berdepan pasukan yang kuat seperti Arab Saudi. Ada masa kita main bagus, ada masa aksi kita kurang meyakinkan.
“Apa yang pasti, saya sudah mendapat gambaran siapa yang bakal diturunkan ketika berdepan Yemen nanti,” katanya.
Dalam aksi kelmarin, Arab Saudi selesa mendahului 2-0 pada babak
pertama hasil jaringan Yousef Alsalem seawal minit keenam dan Yahya
Alsheri (29).
Biarpun arkitek negara, Safiq Rahim berjaya merapatkan kedudukan pada
minit ke-70, malapetaka gara-gara kerapuhan benteng pertahanan Harimau
Malaya akhirnya dihukum pelawat menerusi jaringan Naif Hazazi (88) dan
Hamdan Alhamdan pada masa kecederaan.
“Pada masa sama, kita juga kekurangan penyerang. Lihat sahaja gol kita, yang dijaringkan Safiq (pemain tengah).
“Ia jelas berbeza berbanding Arab Saudi yang memiliki rangkaian penyerang berbeza yang mempunyai teknik lebih baik,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana untuk mengekalkan corak permainan agresif
yang dipamerkan Harimau Malaya pada awal babak kedua tempoh hari, jelas
Rajagobal: “Pemain perlu sedar, aksi agresif wajar dikekalkan sehingga
perlawanan tamat.
“Namun, semangat juang mereka wajar dipuji dan cukup positif untuk berdepan Yemen,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia kini berada di tangga tercorot Kumpulan D
selepas tumpas 0-2 kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai di Doha, bulan
lalu.
Selepas bertemu Yemen, skuad negara bakal melayan kunjungan Bahrain di stadium sama 15 Oktober depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan