Isnin, 11 Mac 2013

Nubhan kini kembali

Oleh GARRET DAWUM

Trivia tentang Nubhan
EKORAN kemelut yang ditimbulkan bekas pihak pengurusannya, penyanyi yang memiliki wajah persis jejaka Cina ini pernah merasakan dunianya dalam bidang nyanyian seakan kelam.

Namun, dalam perjalanan untuk mencipta nama sebagai anak seni, Ahmad Nubhan Ahamad, 27, menafikan masalah itu menjadi penyebab untuknya tidak fokus kepada kerjaya sebagai seorang penyanyi.

Bagi bekas pelajar Akademi Fantasia (AF6) itu, perjalanannya sebagai penyanyi perlu bergerak seiring dengan usianya yang semakin meningkat, di samping penampilan dan pemikiran yang lebih matang.

"Saya pernah merasakan langkah dalam dunia nyanyian hampir mati dan semua usaha saya selama ini bagaikan sia-sia sewaktu dilanda masalah. Dunia saya bagaikan gelap.

"Pada awalnya memang fikiran jadi serabut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Maklum saja ketika itu masih baru dalam industri ini. Kehidupan saya memang bergantung sepenuhnya kepada pengurus kerana dia yang banyak merencanakan jadual saya.

"Walau dalam keadaan yang berserabut itu, saya tidaklah terfikir mahu meninggalkan bidang nyanyian. Keluargalah yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan karier saya," katanya.

Menurut Nubhan, selain keluarga, sokongan daripada peminat juga menguatkannya untuk melihat sesuatu yang baru terutama dalam mengembangkan bakatnya sebagai seorang penyanyi.

"Peminat saya sentiasa bertanya khabar dan ingin mengetahui perkembangan saya," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran lagu duet, Cinta Kasih bersama Mila baru-baru ini.

Jelasnya, lima tahun dalam industri boleh dikatakan sebagai orang baru yang tidak mengetahui selok-belok dunia hiburan dan perlu belajar untuk mencipta nama.

"Walaupun lima tahun itu ramai yang mengenal bakat saya, suara saya, saya tetap berusaha untuk buktikan saya mampu melakukan yang terbaik," katanya.

Ditanya sama ada dia membuat kesilapan dalam memilih pengurusan lalu kerana terlalu meletakkan kepercayaan tinggi sehingga dikhianati, Nubhan berkata, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak.

Ujarnya, mungkin semua musibah yang berlaku itu disebabkan kesalahan sendiri terutamanya melibatkan salah faham dan masalah komunikasi.

"Apa yang berlaku akan saya jadikan pengalaman dan pengajaran untuk lebih berhati-hati kerana bukan mudah untuk dibuang terus. 

"Apa sahaja gosip dan masalah yang berlaku, pahit atau tidak, kita kena telan. Apa yang kita nak, bukan kita boleh terus dapatkan.

"Saya perlu bergerak ke hadapan dan biarlah kesilapan lama disimpan saya sendiri. Saya sudah bungkus cerita-cerita lama dan hanyutkannya ke sungai," katanya.

Meskipun sibuk dengan pembinaan kerjaya seni baharu, Nubhan tidak pernah menolak kehadiran cinta.

Katanya, setiap orang mahukan pasangan, namun dalam keadaan sekarang biar cinta yang mencarinya.

"Semua itu jodoh. Kalau dah tak ada jodoh, apa yang kita boleh cakap. Saya memang pernah bercinta tetapi sudah putus kerana tidak ada jodoh.

"Tapi sekarang, saya tidak mencari, jadi soal cinta bukan saya hendak tolak ketepi. Kalau ada jodoh nanti, adalah..," ujarnya.
Tambahnya, fokus kepada pengurusan dan Nubhan baharu adalah perkara yang diimpikan agar boleh berkekalan dalam dunia seni nyanyian.

"Kini, nasib saya masih baik apabila ada syarikat pengurusan yang mahu bertanggungjawab. Mereka masih mahukan saya serta mahu melihat kerjaya seni saya diteruskan. Memang di situ, nampak satu sinar baru yang akan menyinari hidup saya," katanya.
Tutup buku lama

Pengurusan yang baik, itulah yang diharapkannya. Kini, Nubhan sudah mampu berbangga kerana memiliki pengurusan baharu.

Bernaung di bawah Nubhan Records and Productions sejak Disember lalu, Nubhan berkata, satu lembaran buku baharu perlu dibuka dan buku lama harus ditutup.

"Saya fikir tindakan untuk segarkan diri perlu ada dalam pengurusan baharu saya. Nasib setiap orang tidak sama. 

"Pihak pengurusan kini ikhlas membantu saya dan mereka tidak menghampakan impian saya. Walaupun baru bersama mereka, saya rasa mungkin impian saya akan terlaksana dengan pengurusan mereka," katanya.

Nubhan berkata, dia sangat berpuas hati kerana diberi peluang bersuara dan memberikan pendapat serta akan menjadikan setiap langkah yang diambil lebih teratur.

"Mereka mengikut kehendak saya dengan merancang pelbagai perkara baik untuk saya tahun ini.

"Baru hampir tiga bulan bersama, pengurusan baru sangat memahami. Keputusan untuk bertukar pengurusan sebenarnya adalah untuk saya cuba memperbaiki kesilapan lalu agar ada perkara yang lebih baik akan berlaku.

"Kesilapan dulu semua bukannya kehendak saya dan apa yang cuba sekarang adalah untuk menjadi serta mencari sesuatu yang baik untuk karier," katanya.

Biarpun kerjaya seninya bergerak agak perlahan, Nubhan tidak mahu gosip-gosip sebelum ini mengganggu perjalanannya.
Dengan pengurusan baharu, perkara lama tidak akan dikenang-kenang kembali.

Rasa terima kasih juga harus diberikan kepada pengurusan baharu yang ikhlas untuk melihat kerjaya Nubhan terus meningkat.

"Kejayaan yang saya kecapi adalah atas kemampuan dan keupayaan saya sendiri. Saya tidak mahu disamakan dengan orang lain. Saya tetap saya. Penampilan sahaja yang merubah diri saya untuk terus maju dan membina pelbagai kekuatan baru," katanya ketika ditanya persamaannya dengan Anuar Zain.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan