Isnin, 11 Mac 2013

Liverpool bangkit


STEVEN Gerrard (kanan) meraikan jaringan gol menentang Tottenham Hotspur di Anfield, semalam. Liverpool menang 3-2. - REUTERS
 
LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers enggan memikirkan peluang pasukannya melayakkan diri ke aksi Eropah, meskipun Reds naik anak tangga keenam selepas melakar kemenangan ke atas Tottenham 3-2.

Mendapat inspirasi daripada Luis Suarez, skuad bimbingan Rodgers berada pada prestasi terbaik apabila meledakkan 12 gol selepas menundukkan Swansea, Zenit St Petersburg dan Wigan. Liverpool menyumbat tiga gol lagi untuk menewaskan Tottenham di Anfield, kelmarin.

Kemenangan ke atas pasukan tangga ketiga yang belum lagi tewas dalam 12 perlawanan itu, bermakna anak-anak buah Rodgers bakal berdepan Southampton, Sabtu ini dengan kedudukan mereka berada di atas Everton setelah dipisahkan menerusi perbezaan gol dan semakin menghampiri pasukan di tangga kelima, Arsenal yang turut menawarkan aksi Liga Europa, musim depan.

Namun, Rodgers yang pasukannya tujuh mata ketinggalan di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea berkata: “Saya tidak memikirkan aksi Eropah. Kami tahu di mana kami mahu berada dan kami mahu menjadi pencabar dalam perebutan tempat keempat.

“Kami masih mempunyai tugas hingga hujung musim, kini tiba masanya untuk melakar kemenangan dan memberi fokus kepada matlamat tersebut. Jadi, kami akan beri tumpuan kepada perlawanan Sabtu ini. Kami akan terus mengumpul mata dan lihat di mana kami mampu berada.

“Kami boleh bermain lebih baik berbanding apa yang kami pamerkan ketika menentang Tottenham, tetapi kami menunjukkan karakter dan semangat yang tidak mudah luntur menewaskan pasukan yang berada di kedudukan empat teratas. Apa yang paling penting ialah kami berkembang sebagai sebuah pasukan."

Rodgers yakin Pepe Reina akan segera sembuh daripada kecederaan betis dan sempat menyertai pasukan yang bakal bertandang ke Hampshire. 

Penjaga gol Sepanyol itu, yang menjadi kunci utama kepada Liverpool mendaki ke kedudukan yang lebih baik dalam carta liga, gagal dalam ujian kecergasan dan digantikan oleh Brad Jones pada pertemuan dengan Tottenham.

Pengurus itu juga tidak mengendahkan mengenai Suarez yang turut menarik minat Atletico Madrid untuk membuat bidaan terhadap penyerang tersebut pada akhir musim.

Mungkin pada ketika itu, bintang Uruguay berkenaan telah pun dinobatkan sebagai pemain bola sepak terbaik dan pemain terbaik.

Jaringan menakjubkan pemain itu yang berjaya menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, merupakan gol Suarez yang ke-22 dalam Liga Perdana Inggeris dan yang ke-29 untuk semua pertandingan.

Dikhabarkan pemain itu ada menerima bidaan yang tinggi, tetapi Rodgers berkata: “Dia gembira di sini, itu yang paling penting, dia gembira dengan rakan sepasukannya.

“Dia mampu mencipta suasana kelam kabut pada mana-mana posisi yang anda mahukan dia beraksi dan dia tahu kepercayaan yang saya beri kepadanya. Itu merupakan platform untuknya beraksi cemerlang." - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan