Selasa, 16 April 2013

Aguero tidak puas jika raih satu piala

SUKAN

LONDON - Sergio Aguero menjelaskan, Manchester City sepatutnya mencatat kejayaan yang lebih cemerlang selepas sekadar berpeluang menamatkan kempen musim ini dengan trofi Piala FA sahaja.

Juara bertahan Liga Perdana England itu sudah hampir pasti menamatkan saingan di tangga kedua kali ini, namun mereka turut dilabel pasukan pilihan menjuarai Piala FA pada aksi final menentang Wigan di Stadium Wembley bulan depan.

Seandainya berjaya, ia akan menjadi trofi kejuaraan ketiga City dalam masa tiga tahun, sekali gus menyaksikan The Citizens mengakhiri musim ini dengan nada yang positif.

Ditanya sama ada memenangi Piala FA akan menjadikan musim mereka kali ini cemerlang, Aguero berkata: "Dari satu sudut, ia memang satu kejayaan.

"Namun dari sudut lain, kamu harus ingat bahawa kami memiliki sebuah pasukan yang berkemampuan bersaing untuk memenangi lebih banyak lagi trofi.

"Kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi. Kami ketinggalan terlalu banyak mata di belakang Manchester United dalam saingan liga.

"Kelab ini gagal memenangi banyak kejuaraan sejak beberapa tahun lepas dan sekurang-kurangnya jika kami menang satu lagi trofi, ia mungkin sesuatu yang bagus buat kelab ini."

Penyerang Argentina itu juga mengakui bahawa amat penting bagi City untuk meneruskan rekod kejayaan berturut-turut mereka dalam memenangi kejuaraan.

"Ini satu-satunya trofi yang kami ada peluang untuk menang, jadi kami perlu memberi perhatian yang serius terhadapnya.

"Kami juga sangat gembira kerana dapat beraksi pada final kali ini," tambahnya. - Agensi
 
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan