Ahad, 14 April 2013

Mourinho mula desak Chelsea


MOURINHO dijangka akan kembali ke Stamford Brigde sebagai pengurus Chelsea.


LONDON - Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho dilaporkan mendesak Chelsea supaya menandatangani kontrak untuk mendapatkan khidmatnya dengan kadar segera.

Menurut satu laporkan yang didedahkan Februari lalu, jurulatih yang terkenal dengan nama jolokan The Special One itu dijangka kembali mengendali skuad The Blues.

Bagaimanapun, Manchester City, Paris Saint-Germain dan AC Milan turut memburu khidmatnya dan mereka bersedia membayar gaji lebih daripada £12 juta (RM55.9 juta) setahun seperti yang diterimanya ketika membimbing Real.

"Mourinho mahu kembali ke Chelsea. Itu sahaja destinasi yang diidamkannya.

"Setiap kali beliau mendengar peminat-peminat Chelsea menyeru namanya, keinginan untuk kembali ke Stamford Bridge semakin berkobar-kobar," menurut salah seorang sahabat rapat Mourinho.
Untuk rekod, Mourinho telah mengumpul enam trofi dalam tempoh tiga musim bersama skuad The Blues.

"Beliau pasti akan menerima tawaran serupa dengan apa yang diperoleh bersama Real walaupun beliau mampu mendapat lebih banyak daripada jumlah itu di tempat lain seperti City atau PSG.

"Mourinho boleh kekal di Real tetapi beliau mahukan sesuatu yang lebih menarik dan sekarang terpulang kepada Roman Abramovic sama ada mahukannya atau tidak," menurut sumber itu lagi.
- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan