Selasa, 16 April 2013

Liverpool idam penamat bergaya



REINA (kanan) mengakui yang Liverpool begitu terdesak selepas berterusan kemarau kejayaan musim ini. Dengan tiket ke Liga Europa semakin jauh daripada jangkauan, dia hanya mampu berdoa sahaja.


LONDON - Pepe Reina menegaskan, Liverpool tidak akan membiarkan kempen mereka pada musim ini berakhir begitu sahaja meskipun impian untuk beraksi dalam kempen Liga Europa dilihat sudah tertutup buat mereka.

Liverpool ketika ini mengejar pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur dengan lapan mata dalam baki lima lagi perlawanan selepas seri tanpa jaringan dengan Reading minggu lepas.

Tatkala slot kelayakan Liga Europa dilihat sudah tertutup, Reina menjelaskan bahawa adalah penting bagi Liverpool menamatkan musim ini dengan nada cemerlang supaya ia mampu menjadi landasan terbaik bagi kempen 2013-14 mereka.

"Masih ada 15 mata lagi untuk dimenangi dan amat penting sekali bagi kami menamatkan musim ini dengan bergaya," kata penjaga gol dari Sepanyol itu.

"Kami perlu memastikan yang kami fokus terhadap baki perlawanan ini dan kami juga harus mengakhiri musim ini dengan kejayaan. Ia amat penting dari segi saingan musim depan.

"Lihat pada baki perlawanan kami yang tinggal - bertemu Chelsea dan Everton di tempat sendiri dan Newcastle di tempat lawan.

"Perlawanan seperti ini mampu menjadi satu motivasi kepada mana-mana pemain, terutamanya apabila kamu menyarung jersi Liverpool.

"Kami perlu mencetak beberapa kemenangan. Kalau ia dapat membantu kami layak ke Liga Europa, maka ia sesuatu yang bagus tetapi jika tidak, kami perlukan kemenangan ini demi menjaga maruah kami," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan