Rabu, 24 April 2013

Van Persie julang United


PEMAIN-PEMAIN United meraikan kejayaan mereka muncul sebagai juara Liga Perdana England selepas membelasah Aston Villa 3-0 di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER - Manchester United merangkul gelaran juara Liga Perdana England buat kali ke-20 dengan penuh bergaya awal pagi semalam.

Pada aksi di Old Trafford itu, penyerang Belanda, Robin van Persie meledakkan hatrik pada babak pertama untuk membantu United membelasah Aston Villa 3-0.

Van Persie meletakkan United di depan pada minit kedua sebelum menjaringkan gol kedua yang menarik minit ke-13. Dia melengkapkan hatriknya pada minit ke- 33.

Kemenangan itu memberikan skuad The Red Devils kelebihan 16 mata di depan pencabar terdekat, Manchester United ketika saingan musim ini masih berbaki empat perlawanan, sekali gus menebus kekecewaan musim lalu.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa The Red Devils berhak berada dalam sejarah bola sepak.

Kejuaraan ini juga merupakan gelaran liga ke-13 buat Ferguson yang membimbing kelab itu sejak 1986.
"Memang mudah untuk bercakap bahawa nostalgia memperdaya pemikiran individu. Anda sendiri yang melakukannya. Anda ingat semua ini (kejayaan United) tidak sama seperti ketika anda kecil dahulu tetapi ia hanya satu nostalgia.

"Kini, kami mengumpul 84 mata ketika saingan masih berbaki empat perlawanan. Kami tidak pernah melakukannya sebelum ini.

"Kami memenangi hampir semua perlawanan, seri tiga kali, kalah empat kali dan tentang jaringan pula, semua kejayaan kami malam itu dicipta dengan gol cantik seperti David Beckham, Ole Gunnar Solskjaer dan Eric Cantona.

"Jaringan (kedua van Persie) malam ini juga termasuk dalam sejarah tersebut," kata Ferguson.
Van Persie muncul penjaring terbanyak musim ini dengan 24 gol dan Ferguson melabelnya setaraf dengan penyerang Perancis, Cantona yang menjadi inspirasi kelab itu ketika menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga selepas dibeli daripada Leeds United pada 1992.

"Dari segi impaknya, dia (van Persie) berjaya membawa perubahan yang besar daripada apa yang saya bayangkan.

"Cantona juga berjaya memberi impak yang besar dan saya sangat bernasib baik kerana memiliki beberapa lagi penyerang hebat sepertinya, mungkin seramai 10 orang dalam kelab ini.

"Saya rasa, kami memang menjangkakannya. Prestasinya bersama Arsenal tahun lepas sangat luar biasa dan saya masih ingat ketika kami melengkapkan pembeliannya, Arsene Wenger (pengurus Arsenal) berkata bahawa dia adalah pemain yang lebih bagus daripada apa yang kamu bayangkan.
"Saya rasa Wenger memang betul," kata Ferguson. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan