Rabu, 24 April 2013

Rajagobal selamat


K. RAJAGOBAL


KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal selamat.Dia sudah boleh menarik nafas lega selepas menyaksikan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya tidak tergugat.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa Rajagobal tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin berhubung kontroversi yang melandanya baru-baru ini ekoran mengkritik Liga Malaysia (Liga M).

Keputusan tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Razak yang mempengerusikan mesyuarat selama empat jam jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

Menurut Taufik, keputusan itu diambil berdasarkan penelitian pihak FAM terhadap kenyataan Rajagobal menerusi pita rakaman.

Jelas Taufik, Rajagobal terlepas daripada sebarang hukuman, namun beliau diberikan amaran supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan.

“Tiada kes untuk Rajagobal. Jawatankuasa Tatatertib mendapati bahawa Rajagobal tidak pernah keluarkan kenyataan mengkritik Liga M seperti yang didakwa.

”Keputusan itu dicapai selepas kami memperhalusi pita rakaman (mengenai kenyataan Rajagobal) dan kita telah membuat penelitian satu persatu ke atas pita rakaman tersebut.

“Kita menasihatkan beliau supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan dan kita tidak mempertikaikan kenyataan (Rajagobal).

”Kenyataan yang dibuat Rajagobal itu juga tidak bersifat permusuhan dengan FAM.

“Jadi, kenyataan yang dibuat oleh Rajagobal langsung tidak menyentuh tentang polisi dan dasar pemain import. Kalau hina FAM, dan didapati ada bukti cukup, kita akan jatuhkan hukuman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Wisma FAM semalam.

Rajagobal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengkritik Liga M dengan mengatakan skuad negara ketandusan penyerang berwibawa ekoran lambakan penyerang import dalam liga tempatan.

Beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu selepas skuad Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada satu aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam 17 Mac lalu.

Beliau dilaporkan menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga Super yang mengakibatkan skuad kebangsaan ketandusan penyerang semula jadi sekali gus mengheret beliau untuk disiasat oleh FAM.

Dalam perkembangan lain, Taufik turut mengesahkan bahawa dua pemain Selangor, Mohd. Afiq Azmi digantung dua perlawanan dan didenda RM1,000 manakala Abdul Shukur Jusoh digantung dua perlawanan dan didenda RM2,000.

Katanya, hukuman tersebut tidak boleh dirayu memandangkan ia paling minimum terhadap kelakuan mereka ketika aksi pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu.

“Afiq telah mengaku salah dan ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM telah menerima penjelasannya.

Afik berdepan tindakan tersebut selepas beliau bertelagah dengan pemain ATM yang hampir mencetuskan pergaduhan.

Insiden tersebut berlaku semasa perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Selangor dengan ATM di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu.

”Mengenai kes Shukur, FAM ingin memberikan mesej kepada pemain-pemain lain agar tidak mengingkari arahan pengadil kerana masih berada di kawasan padang selama 1 minit 30 saat meskipun telah dilayangkan kad merah.

“Sama ada keputusan pengadil itu tidak tepat atau sebaliknya, dia harus bersikap profesional dengan meninggalkan padang serta-merta,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan