Khamis, 11 April 2013

Bayern berhak ke separuh akhir



PEMAIN-PEMAIN Bayern meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam selepas menewaskan Juventus 2-0 semalam.


TURIN, Itali – Bayern Munich memburu gelaran trebel musim ini selepas mengesahkan slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara setelah menewaskan Juventus 2-0 pada aksi suku akhir kedua awal pagi semalam.
Skuad kendalian Jupp Heynckes itu mara dengan agregat 4-0 hasil kemenangan 2-0 yang dicatat pada aksi suku akhir pertama di Allianz Arena minggu lalu.

Pada perlawanan di Stadium Juventus itu, anak-anak buah Antonio Conte beraksi dengan baik sebelum penyerang Croatia, Mario Mandzukic meletakkan Bayern di depan pada minit ke-64 sebelum penyerang Peru, Claudio Pizarro mengesahkan kemenangan pasukan pelawat apabila menggandakan jaringan pada masa kecederaan.

Heynckes melontarkan pujian terhadap peningkatan yang dipamerkan anak-anak buahnya pada babak kedua.

“Kami berjaya melangkah ke separuh akhir, namun kami berdepan sebuah pasukan yang kuat dan kami sudah meramalkan ia akan menjadi satu pertarungan sengit pada aksi kedua ini,” kata Heynckes.

“Juve memberi banyak tekanan kepada kami pada babak pertama tetapi pada babak kedua, kami berjaya bangkit untuk menampilkan aksi lebih menyakinkan dan mula bermain mengikut rentak kami.”

Kejayaan itu memberi peluang kepada Bayern untuk menjulang gelaran trebel musim ini selepas dinobatkan juara Liga Jerman ketika saingan masih berbaki enam perlawanan selain turut mara ke separuh akhir Piala Jerman.

Bagaimanapun, undian selepas ini bakal menyaksikan Bayern bertemu antara pasukan hebat yang lain seperti Barcelona, Real Madrid dan Borrusia Dortmund.

“Tidak kisah siapa yang akan kami jumpa, semua pasukan pada separuh akhir berpeluang memenanginya, termasuk kami.

“Ia bukan sesuatu yang mudah bagi semua pasukan. Saya jamin semua pasukan akan menghormati kami setelah kami layak ke final dua kali dalam masa tiga tahun,” kata Heynckes.– AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan