Khamis, 4 April 2013

Mourinho puji persembahan Real



RONALDO (kiri) menjaringkan gol pertama Real pada aksi menentang Galatasaray di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.


MADRID - Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho berpuas hati dengan kecemerlangan anak-anak buahnya meraih bekalan selesa selepas mengatasi Galatasaray 3-0 dalam aksi suku akhir pertama kempen Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, gol-gol kemenangan The Galacticos dicetak oleh Cristiano Ronaldo seawal minit kesembilan sebelum Karim Benzema (29) dan Gonzalo Higuain (73) menjamin bekalan selesa tuan rumah menjelang aksi suku akhir kedua di Instanbul, minggu depan.

Di sebalik kecemerlangan jentera penyudah Real, Mourinho turut gembira dengan kekebalan benteng pertahanan pasukannya mengekang hasrat Galatasaray memburu gol di tempat lawan awal pagi semalam.
"Pasukan kami berjaya mempamerkan aksi yang cukup seimbang.

"Kami bertahan dan menyerang dengan baik. Kesemua pemain sedar kesilapan mudah ketika peringkat seperti ini mampu mengundang bencana.

"Pada masa sama, saya juga gembira apabila Higuain dan Benzema kembali menemui sentuhan penyudah dan ini cukup penting bagi mengembalikan semula keyakinan mereka," kata Mourinho.

Biarpun seolah-olah sudah sebelah kaki ke separuh akhir, Mourinho sebaliknya enggan anak-anak buahnya berasa selesa.

"Galatasaray memerlukan keajaiban namun apa jua kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
"Saya cukup berpengalaman dalam hal ini, jadi saya mahu pemain saya beraksi di Instanbul dengan mentaliti mahu menang," tegas Mourinho.

Pada masa sama, Mourinho juga tidak begitu panik meskipun bakal kehilangan Sergio Ramos dan Xabi Alonso yang bakal terlepas aksi suku akhir kedua nanti selepas mengutip kad kuning semalam.
"Kedua-dua mereka cukup penting buat pasukan, jadi saya menafikan mereka sengaja mengutip kad kuning supaya dapat beraksi di saingan separuh akhir nanti.

"Sejujurnya, ketiadaan mereka berdua sedikit sebanyak menjejaskan perancangan saya," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan