Sabtu, 27 April 2013

Rajagobal miliki kredibiliti'


“KINI, misi utama skuad negara adalah memberikan fokus untuk melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.”

Itulah respons pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal yang menyarankan Datuk K. Rajagobal memberikan tumpuan kepada skuad kendaliannya selepas jurulatih skuad negara itu terselamat dari sebarang hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Status Rajagobal menjadi tanda tanya selepas beliau dilaporkan mengkritik Liga Malaysia (Liga M) dengan menganggap kelambakan penyerang import menjadi punca ketandusan penyerang tempatan semula jadi.

Kenyataan itu didakwa hadir selepas Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Arab Saudi dalam satu aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.

Begitupun, bekas jurulatih Selangor itu tidak dikenakan sebarang hukuman oleh FAM selepas pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan tiada sebarang bukti untuk mendakwa Rajagobal.

Apa yang pasti, Rajagobal yang masih kekal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya menjadi harapan buat penyokong-penyokong tempatan dalam usaha memburu slot automatik Piala Asia 2015.

Namun, jawatan jurulatih yang memenangi Piala AFF Suzuki 2010 itu dipercayai masih belum selamat sekiranya gagal memberikan persembahan memberangsangkan dalam aksi Kumpulan D tersebut.

“Saya telah dimaklumkan perkara ini sejak awal lagi yang mana Rajagobal tidak bersalah. Ada segelintir pihak yang mendakwa saya mahu mempertahankannya tetapi kini, ia sudah terbukti bahawa beliau tidak melanggar Artikel 88.

“Apa yang pasti, Saya harap tiada lagi isu lagi yang memberikan tekanan kepada Rajagobal kerana saya mahukan beliau memberikan fokus pada aksi kelayakan Piala Asia kelak,” katanya.

Tambah Subahan, beliau yang masih yakin dengan persembahan skuad negara, mahu barisan pemain Harimau Malaya meningkatkan tahap keupayaan menjelang pertemuan menentang Bahrain pada 15 Oktober deoan.

“Kami membuat persiapan yang baik menerusi beberapa perlawanan persahabatan antaranya menentang Chelsea, Barcelona, Uzbekistan dan India sebelum menentang Bahrain.

“Sudah tentu kami harus meneruskan misi untuk layak ke Piala Asia kerana kami berjaya menewaskan Yemen,” katanya.

Untuk rekod, Harimau Malaya kini menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan D selepas tewas 0-2 kepada Qatar sebelum mengalahkan Yemen 2-1 pada aksi kedua.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan