Khamis, 11 April 2013

Messi cetus impak



PENYERANG PSG, Zlatan Ibrahimovic (kiri) mengucapkan tahniah kepada Messi sebaik perlawanan tamat di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.


BARCELONA – Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura memuji keazaman Lionel Messi selepas Pemain Terbaik Dunia itu membantu skuad The Catalan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Barcelona menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) meskipun kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.

Mereka terikat dengan agregat 3-3 tetapi skuad The Catalan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 2-2 pada aksi suku akhir pertama di Parc des Princes minggu lalu.

Pada perlawanan awal pagi semalam, Barcelona cemas seketika selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan Javier Pastore pada minit ke-50 tetapi Messi yang masuk pada babak kedua berjaya memberi impak, sekali gus membantu pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Pedro pada minit ke-71.

“Kami memberitahu sebelum ini jika semuanya tidak berjalan dengan baik, Messi akan dimasukkan.
“Messi seorang pemain yang penting dan kehadirannya di atas padang berjaya memberi impak kepada corak permainan, terutamanya selepas kami ketinggalan satu gol.

“Sekali lagi dia membuktikan semangat dan keazaman yang tinggi meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

“Tindakannya itu harus diberi pujian yang tinggi,” kata Roura.
Roura berkata, PSG berjaya menguasai keseluruhan permainan pada babak pertama dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Sekali lagi kami telah menunjukkan keberanian. Mara ke separuh akhir buat kali keenam berturut-turut adalah suatu pencapaian yang hebat.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki tetapi buat masa ini kami mahu meraikan kejayaan ke separuh akhir terlebih dahulu.

“Kami akan berehat beberapa hari sebelum memikirkan tentang strategi untuk menghadapi aksi separuh akhir nanti,” ujar Roura. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan