Khamis, 11 April 2013

Stoke penentu nasib United



EVRA (tengah) menjangkakan satu perlawanan yang sukar pada pertemuan menentang Stoke di Stadium Britannia, Ahad ini.


LONDON - Secara matematiknya, perebutan gelaran juara Liga Perdana England musim ini masih terbuka.
Bagaimanapun, Manchester United boleh menutup pintu buat pencabarnya, Manchester City sekiranya skuad The Red Devils berjaya menewaskan Stoke City di Stadium Britannia, Ahad ini.

Kemenangan ke atas Stoke bakal menyaksikan anak-anak buah Alex Ferguson memiliki kelebihan 15 mata di depan skuad The Citizens.

City selaku juara bertahan akan bertemu Chelsea pada aksi separuh akhir Piala FA pada hari yang sama dan mereka masih mempunyai baki tujuh perlawanan tetapi jurang 15 mata itu terlalu besar untuk dikejar.
Anak-anak buah Roberto Mancini menangguhkan hasrat United untuk meraikan kejayaan itu lebih awal selepas mencatat kemenangan 2-1 di Old Trafford, Isnin lalu.

Namun, kemenangan di Stoke bakal menyukarkan misi City, sekali gus memberi peluang kepada United untuk menjulang trofi liga buat kali ke-20.

Pemain pertahanan United, Patrice Evra berkata, mereka perlu mengekalkan konsentrasi sehingga ke akhir musim ini.

"Stoke merupakan suatu tempat yang sukar untuk dikunjungi. Jadi, kami perlu bersedia untuk menghadapi pertarungan itu. 

"Namun, kami sering kali pulang dengan tiga mata penuh dalam tempoh beberapa tahun lalu. Tidak ada apa-apa yang mudah sehingga akhir musim ini tetapi kami perlu memastikan bahawa kami akan memenangi perlawanan seterusnya.

"Kami berada di kedudukan yang baik tetapi kami perlu menghadapi semua perlawanan satu persatu. Jangan letakkan diri kami dalam keadaan tertekan. Hanya memenangi perlawanan seterusnya. Selepas itu, segala-galanya akan menjadi mudah," kata Evra.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan United, Phil Jones berkata, mereka tidak akan berhenti berjuang sehingga secara matematiknya mengesahkan City tidak mampu lagi memintas mereka.
"Perebutan gelaran masih belum berakhir tetapi kami berada di kedudukan yang baik. Kami sangat kecewa dengan kekalahan kepada City baru-baru ini. 

"Ia merupakan peluang terbaik untuk me- menangi gelaran juara. Apabila kamu tewas kepada musuh sejiran, sebagai seorang pemain United, ia sesuatu yang menyakitkan.

"Perjuangan belum berakhir tetapi kami memiliki kelebihan 12 mata. Kami perlu memenangi perlawanan seterusnya. Kami tewas kepada City tetapi sejak saya berada di sini, kami tidak pernah tewas dua kali berturut-turut.

"Sebab itu saya harap kami akan terus berjuang dan menang pada pertemuan menentang Stoke. Jangan fikir mengenai gelaran. Hanya perlu menang perlawanan seterusnya," kata Jones. - Ag

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan