Rabu, 24 April 2013

Kami perlu keajaiban - Roura


MUNICH, Jerman - Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura mengakui yang anak-anak buahnya memerlukan keajaiban untuk menempah slot ke final Liga Juara-Juara musim ini.

Roura menyuarakan kebimbangan itu selepas Barcelona dibelasah 0-4 oleh Bayern Munich pada aksi separuh akhir pertama di Allianz Arena awal pagi semalam.

Kekalahan tersebut adalah yang terburuk dalam sejarah kelab gergasi Sepanyol itu sejak tewas 0-4 kepada Dynamo Kiev pada saingan peringkat kumpulan tahun 1997.

Bagi Bayern, mereka semakin hampir untuk melayakkan diri ke final buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Pada perlawanan awal pagi semalam, pemain tengah Jerman, Thomas Mueller meletakkan Bayern di depan pada minit ke-25 sebelum menambah gol kedua minit ke-82.

Penyerang Jerman, Mario Gomez dan pemain sayap Belanda, Arjen Robben turut melakar nama sebagai penjaring apabila masing- masing meledakkan gol kedua serta ketiga Bayern pada minit ke-49 dan ke-73.

Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi yang menjadi taruhan utama Barcelona masih mampu menampilkan aksi yang membanggakan meskipun bergelut dengan kecederaan hamstring sejak awal lalu.

"Mereka (Bayern) telah membuktikan bahawa mereka lebih hebat daripada kami. Mereka menewaskan kami di semua posisi.

"Saya tidak mampu melakukan apa-apa untuk mengubah keputusan itu. Ia adalah suatu keputusan yang memalukan.

"Ia akan menyukarkan kami untuk menghadapi aksi kedua di Stadium Nou Camp (1 Mei) tetapi kami perlu menghadapinya," kata Messi.

Bagaimanapun Roura mengakui, Barcelona berdepan suatu tugas sukar yang mampu membuktikan bahawa mereka lebih hebat daripada Bayern.

"Keajaiban adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Ketinggalan 0-4 adalah satu jurang yang besar.

"Saya tidak tahu sekiranya ada pasukan yang mampu bangkit daripada kekalahan itu dalam sejarah Liga Juara-Juara tetapi kami akan melakukan yang termampu.

"Ini adalah kekalahan besar yang terlalu menyakitkan kami," kata Roura.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan