Selasa, 16 April 2013

Fergie puji aksi Rooney


LONDON - Alex Ferguson percaya, prestasi menakjubkan Wayne Rooney yang beraksi di bahagian tengah ketika membantu Manchester United menang 2-0 ke atas Stoke City kelmarin mampu menyuntik lagi keyakinan kelab itu.

Rooney turut terlibat dalam mencipta gol kedua United menerusi Robin van Persie yang kemudiannya dijatuhkan oleh Andy Wilkinson sebelum pemain itu menyempurnakan sepakan penalti.

"Aksi Wayne sangat menakjubkan," kata Ferguson.

"Saya rasa dia perlu diberi peranan yang berbeza bagi mendapatkan semula keyakinannya.

"Sejak kebelakangan ini dia banyak kali dikritik tetapi ia bukan sesuatu yang serius. Masih ada lagi yang sangsi dengan keupayaannya.

"Dia seorang pemain yang hebat dan tugas kami ialah mengembalikan semula keyakinan dan prestasi terbaiknya. 

"Jadi, saya rasa peranannya sebagai pemain perancang malam ini (kelmarin) akan membantunya dan ia juga berhasil bagi kami."

Perubahan taktikal ini menyaksikan Ferguson berpeluang menggandingkan Javier Hernandez dengan van Persie di jentera serangan.

Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila van Persie menjaringkan gol pertamanya dalam 11 perlawanan menerusi penalti.
Sebelum itu, United 1-0 di depan apabila Michael Carrick menjaringkan gol seawal minit keempat di Stadium Britannia itu.

Ferguson turut mempertahankan prestasi van Persie dengan menegaskan, situasi kemarau gol yang dialami penyerang Belanda itu adalah perkara yang biasa dihadapi oleh semua pemain penyerang.

"Kesemua tiga penyerang kami telah menyumbang 54 gol. Bagi saya, semua penyerang akan merasai kemarau jaringan dalam karier mereka.

"Namun, apabila kamu menjaringkan gol, kamu akan menamatkan badi tersebut. Ia satu jaringan yang penting buat dirinya dan juga kami," ujar Ferguson lagi. - AFP
 -KOSMO-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan