Sabtu, 27 April 2013

Luiz selamatkan Chelsea



LUIZ (depan) menjaringkan gol kemenangan 2-1 Chelsea ke atas Basel pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi tadi.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez memuji persembahan David Luiz yang menjaringkan gol kemenangan skuad The Blues ketika menewaskan Basel 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi tadi.

Pada aksi di St Jakob Park itu, Luiz meledakkan gol kemenangan itu menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan selepas Basel menyamakan kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti kontroversi pada minit ke-87.

Sebelum itu, Victor Moses meletakkan skuad The Blues di depan pada minit ke-12.

"Ada dalam kalangan pemain menganggap bahawa mereka tidak sepatutnya dibolosi dengan gol tersebut dan mereka gunakan kekecewaan itu sebagai suntikan motivasi bagi mencari satu gol lagi.

"Keputusan penalti itu amat mengejutkan dan ia boleh membawa perubahan yang besar. Ia satu keputusan yang pelik," kata Benitez.

Basel memperoleh sepakan penalti itu ekoran kesilapan pemain pertahanan kanan Chelsea, Cesar Azpilicueta dan Fabian Schar tidak mempersia-siakan peluang itu untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Luiz muncul wira skuad The Blues apabila sepakan percuma yang diambil pada masa kecederaan berjaya menewaskan kelab dari Switzerland itu.

"Luiz sangat bagus ketika melakukan sepakan percuma. Walaupun penjaga gol dapat menyelamatkannya, semua orang mungkin setuju bahawa kedua-dua pasukan bermain dengan baik malam ini.

"Ia satu pertarungan yang sengit dengan tempo permainan yang tinggi dan kami menentang sebuah pasukan yang tidak pernah kalah di tempat sendiri dalam kempen Eropah.

"Bagaimanapun, kami melaksanakan tugas dengan baik, kami ada beberapa peluang menerusi serangan balas dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami telah menewaskan sebuah kelab yang hebat tetapi kami tidak boleh terlalu yakin dan mula percaya bahawa kami telah layak ke final.

"Kami melihat bagaimana Basel menewaskan Tottenham pada perlawanan sebelum ini.

"Mereka boleh menjaringkan gol di tempat sendiri atau tempat lawan. Jadi, kami harus memberi tumpuan sepenuhya pada minggu depan," kata Benitez.

Satu lagi perlawanan separuh akhir berkesudahan Fenerbahche menang 1-0 ke atas Benfica hasil tandukan pertahanan Egeman Korkmaz pada minit ke-72.- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan