Khamis, 11 April 2013

Nizaruddin dalam radar ATM



NIZARUDDIN hampir pasti beraksi dengan pasukan ATM.


BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjadi buruan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum jendela pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada 22 April ini.

Pengendali ATM, B. Sathianathan memberitahu, kehadiran Nizaruddin dijangka memberi lebih banyak pilihan buat beliau dalam mengenal pasti jentera serangan terbaik The Gladiators bagi mengharungi baki saingan Liga Super selepas ini.

“Ketika ini, proses bagi mendapatkan khidmat Nizaruddin sedang berjalan lancar dan jika tiada aral, dia akan menyertai kami sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Nizaruddin, 33, sebelum ini pernah bersama Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis sebelum dilepaskan Selangor PKNS musim lalu.

Anak jati Sentul, Kuala Lumpur itu juga pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan apabila kali terakhir mencetak gol bersama Harimau Malaya ketika membelasah Afghanistan 6-0 pada Pestabola Merdeka edisi 2008.

Apa yang pasti, kehadiran Nizaruddin seolah-olah membayangkan resipi Sathianathan yang kekal menaruh kepercayaan terhadap kemampuan tonggak ‘kuda tua’ apabila memiliki penyerang berusia seperti Hairuddin Omar dan Marlon Alex James.

“Saya percaya Nizaruddin masih memiliki sentuhan penyudah yang berkesan dan bakal menjadi antara watak penting buat kami pada musim ini,” katanya.

Mengulas pertemuan menentang Kelantan di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu malam esok, Sathianathan mengakui tugas berat menanti anak-anak buahnya apabila mereka kehilangan Shukor Adan, Fitri Omar, G Jeevananthan dan R. Surendran yang digantung perlawanan gara-gara didapati bersalah bertelagah dengan pemain Selangor pada pusingan pertama Piala FA baru-baru ini.

“Saya juga terpaksa merombak pasukan apabila kehilangan Irwan Fadhli Idrus dan Bruno Martelotto yang masih belum pulih daripada kecederaan.

“Prestasi semasa Kelantan juga tidak kurang hebatnya, jadi kami perlu berwaspada,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan