Rabu, 17 April 2013

Arsenal tempah laluan berliku



AKSI keras Everton seperti yang dilakukan Gibson ke atas Walcott ini menghalang Arsenal daripada mempamerkan permainan sebenar mereka untuk meraih tiga mata berharga.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, pasukan kendaliannya itu masih berada di landasan yang betul untuk layak ke Liga Juara-Juara meskipun mereka terikat 0-0 dengan Everton semalam.

Arsenal mempunyai peluang untuk melebarkan jurang dengan kelebihan empat mata ke atas kelab di tangga kelima Liga Perdana England, Tottenham Hotspur sekiranya mereka menewaskan Everton semalam.

Begitupun, Arsenal yang terpaksa bergelut dengan asakan fizikal pasukan pelawat ternyata menghampakan penyokong mereka biarpun beraksi di laman sendiri, Stadium Emirates pada aksi ke-33 liga domestik itu.

Perebutan untuk berada dalam kelompok empat teratas dilihat semakin sengit bukan sahaja membabitkan Arsenal dan Tottenham, malah Chelsea yang kini berada di tangga keempat.

Bagaimanapun, Chelsea kurang dua perlawanan berbanding Arsenal kerana kelab bimbingan Rafa Benitez itu sibuk dengan kempen Piala FA dan Liga Europa sebelum ini.

Tottenham pula kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan jika mencatat kemenangan, mereka akan terus melonjak ke tangga ketiga atau keempat.

Namun bagi Wenger, beliau percaya skuad bimbingannya itu mampu mengatasi situasi tersebut.

"Kami seharusnya memenangi perlawanan ini. Apa pun, kami masih kekal dalam posisi untuk merebut kelompok empat teratas.

"Kami telah mempamerkan aksi yang baik dengan semangat yang kuat. Kami mensia-siakan dua mata tetapi jika kami menang dalam perlawanan seterusnya kami tetap akan berada di situ. 

"Memang benar, pencabar lain mempunyai kelebihan jumlah baki perlawanan tetapi mereka akan menentang antara satu sama lain. Kepercayaan saya masih kuat dan saya yakin kami akan melakukannya," kata Wenger.

Menurut pengendali dari Perancis itu, Arsenal mempunyai keupayaan untuk menghadapi tekanan seperti mana penampilan anak-anak buahnya ketika berdepan dengan corak permainan pemain-pemain Everton yang terlalu agresif.

Wenger mendakwa, taktik yang digunakan akan menjadi sekiranya pemain tengah Everton, Darron Gibson dibuang padang ekoran siri kekasarannya pada separuh masa pertama. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan