|
RASANYA dalam industri perfileman negara, belum pernah lagi sesebuah
filem tempatan terpaksa ditangguhkan tayangannya gara-gara provokasi
yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.
Ternyata filem terbitan Pesona Pictures dan Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (Finas) mencipta sejarah tersendiri apabila
tayangannya di pawagam tertangguh selama setahun.
Semuanya berlaku apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa
filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu boleh mencetuskan ketegangan
kaum apabila memaparkan kisah mengenai peristiwa 13 Mei 1969.
Bagi empat orang pelakon utamanya iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin,
Faezah Elai dan Linda Hashim, mereka berpendapat orang ramai perlu
menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.
Rusdi yang memainkan peranan utama sebagai Tun Abdul Razak berkata,
sepatutnya tiada sebarang isu yang perlu dibangkitkan kerana Tanda
Putera lebih memaparkan tentang sejarah tokoh terulung negara.
“Secara jujurnya saya pernah terfikir yang filem ini langsung tidak
akan ditayangkan setelah timbulnya bermacam-macam isu. Ketika itu saya
cuma reda sahaja dan anggap tiada rezeki buat kami.
“Sekiranya perkara tersebut terjadi, saya rasa ia merupakan satu
kerugian yang sangat besar kerana seluruh tenaga produksi sudah berusaha
bersungguh-sungguh dan mencurahkan segala keringat untuk filem ini,”
ujarnya dalam sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap babak tentang rusuhan
kaum yang pernah melanda negara dahulu, Rusdi menyatakan ia bukanlah
satu kesalahan kalau ia memberi pengajaran kepada generasi sekarang agar
perkara itu tidak berulang lagi.
Jelasnya, segala yang digambarkan dalam filem berkenaan merupakan
kejadian sebenar yang pernah berlaku, tetapi ia perlu dilihat dari
perspektif yang lain.
“Ia sewajarnya dipaparkan kerana ramai yang tidak tahu peristiwa
hitam itu merupakan antara punca utama Tun Abdul Razak meminta Tun Dr.
Ismail menyertai semula Kabinet, sekali gus dilantik sebagai Timbalan
Perdana Menteri Malaysia.
“Semua perkara tersebut adalah fakta sejarah dan tiada mana-mana
pihak yang boleh mempertikaikannya. Lagipun, apa yang dipaparkan cuma di
peringkat permulaan filem ini sahaja,” jelasnya.
Menurut anak kepada pelakon Norlia Ghani itu, dia menyarankan supaya
penonton yang menonton filem berkenaan lebih menghayati kisah terhadap
perjuangan dan pengorbanan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail ketika
mentadbir negara.
“Mentadbir negara dalam keadaan yang masih lagi tidak aman sepenuhnya
bukanlah satu tugas yang kecil. Dalam masa yang sama Tun Razak
menghidap leukimia manakala Tun Dr. Ismail ada penyakit jantung tetapi
kedua-duanya merahsiakannya daripada pengetahuan ramai.
“Seharusnya apa yang dilalui kedua-dua ini perlu dijadikan iktibar
dan contoh kepada semua rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan
mereka begitu bermakna dan tidak harus dilupakan,” jelasnya.
|
Bahan rujukan
Seorang lagi pelakon iaitu Zizan Nin yang memegang watak sebagai Tun
Dr. Ismail pula melihat Tanda Putera bukan sekadar sebuah filem sejarah
atau sebagai bentuk hiburan semata-mata.
Ujarnya, filem berkenaan sebenarnya boleh dijadikan rujukan untuk
masa hadapan sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat
sebarang kajian tentang tokoh di negara ini.
“Tidak dapat disangkal bahawa industri perfileman tempatan agak
kurang menerbitkan filem berbentuk sejarah dan patriotik, sedangkan ia
agak penting untuk dihayati oleh masyarakat.
“Selepas ini saya meletakkan harapan yang sangat tinggi supaya lebih
banyak lagi filem-filem sebegini dapat dihasilkan dan diterbitkan oleh
pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu, Zizan menyatakan, dia sentiasa membuat susulan kepada
pihak penerbit tentang tarikh tayangan sebenar dan mengakui agak ralat
sekiranya tidak jadi ditayangkan.
“Sebelum ini filem pertama saya iaitu Cinta Terakhir tidak jadi
ditayang- kan kerana masalah di pihak penerbit. Jadi, saya takut
kejadian sama akan berulang untuk filem Tanda Putera pula.
“Sehinggakan saya pernah terfikir mungkin agak kurang bernasib baik
dalam filem. Akhirnya apabila menteri mengumumkan tentang tarikh
tayangan filem ini pada 3 Jun lalu, saya berasa cukup lega,” jelasnya.
Dapat pujian
Tidak dinafikan bahawa golongan wanita merupakan tunjang utama
terhadap kejayaan seseorang lelaki. Itulah peranan utama yang dimainkan
oleh isteri kepada Tun Abdul Razak iaitu Tun Rahah serta Toh Puan
Norasyikin atau Neno yang merupakan isteri Tun Dr. Ismail.
Pelakon Faezah Elai yang membawakan watak Tun Rahah dalam filem Tanda
Putera berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat memegang watak
seorang isteri kepada tokoh ternama.
“Tanggungjawab yang diberikan sangat besar dan saya cukup risau kalau
melakukan sebarang kesilapan. Namun begitu, Shuhaimi banyak membantu
saya dalam mengenali karakter Tun Rahah secara lebih dekat.
“Sepanjang mendalami watak tersebut saya begitu mengagumi karakter
Tun Rahah, terutamanya gambaran yang diberikan terhadap perasaan yang
dilalui semasa kehilangan suami tercinta. Ternyata beliau seorang wanita
yang sangat kuat, tabah dan cekal,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman manis sepanjang memegang watak
tersebut, perkara yang paling tidak dapat dilupainya apabila dia
mendapat pujian daripada isteri Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah
Mansor.
“Semasa tayangan filem ini dibuat khas untuk tontonan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah telah memberikan pujian dan
memberitahu, karakter yang saya bawakan memang tidak lari jauh seperti
Tun Rahah,” jelasnya.
|
Sementara itu, Linda Hashim selaku Toh Puan Norasyikin pula
memberitahu, dia tidak mempunyai banyak sumber untuk mendalami watak
yang diberikan dan terpaksa bergantung kepada penceritaan yang
disampaikan oleh Shuhaimi.
Bagaimanapun jelas Linda, berpeluang untuk membawa suatu watak yang
penting merupakan suatu penghargaan buat dirinya sepanjang terbabit
dalam dunia lakonan.
“Apabila mengenali lebih dekat tentang diri Neno yang sebenar, saya
akui cukup kagum dengan beliau. Walaupun Neno tahu suaminya mempunyai
sakit jantung tetapi dia tetap memberi sepenuh sokongan ketika Tun Dr.
Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Mungkin penonton yang melihat filem ini akan menyangka Neno seperti
tidak membenarkan suaminya memikul tangungjawab besar tetapi dia
sebenarnya berharap supaya suaminya berterus terang kepada Tun Abdul
Razak tentang penyakit yang dihidapinya itu,” jelasnya.
Menurut Linda, semasa filem ini ditayangkan kali pertama pada tahun
lalu, dia berkesempatan bertemu dengan Mohamed Tawfik iaitu anak Tun Dr.
Ismail.
Ujarnya, Tawfik lebih banyak memberi komen tentang lakonannya berbanding karakter yang dibawakannya itu.
“Kalau boleh semua kontroversi yang pernah timbul dapat dilupakan
oleh semua pihak. Tontonlah filem ini terlebih dahulu dan selepas itu
masing-masing ada hak untuk membuat penilaian,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan