KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Irfan Bakti menegaskan, pasukannya
tidak boleh kalah apabila menerima kunjungan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini,
sambil memberi amaran kepada pemain Red Giants agar tidak terlalu
bergantung Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah untuk mencari gol.
Irfan menjangkakan pertarungan menentang ATM pasti sukar kerana
lawannya juga berada dalam keadaan terdesak untuk mengutip mata selepas
kalah mengejut 3-4 kepada Sime Darby pada perlawanan pertama, Selasa
lalu.
Dalam memastikan tiga mata penuh menjadi miliki Selangor, Irfan
menggesa semua pemainnya, termasuk di bahagian pertahanan untuk
memainkan peranan mencipta jaringan dan menjadikan perlawanan dengan
Johor (seri 0-0), Selasa lalu sebagai satu pengajaran.
Beliau mahu anak-anak buahnya lebih fokus dan bersedia menghadapi ancaman ATM yang diibaratkan seperti harimau luka.
Kita tidak boleh kalah dalam perlawanan ini, tambahan ATM juga
berada dalam keadaan terdesak untuk bangkit selepas kalah kepada Sime
Darby tempoh hari. Kita juga memerlukan kemenangan.
Semua pemain mesti berusaha mendapatkan gol buat pasukan dan
jangan terlalu berharap kepada Forkey Doe dan Amri semata-mata untuk
menjaringkan gol.
Pemain lain seperti K. Gurusamy dan Shukor Jusoh juga kena
bertindak sama serta lebih berani membantu pasukan dalam mendapatkan
jaringan, jangan hanya mengharapkan kepada penyerang sahaja, " katanya
ketika dihubungi, semalam.
Selangor sekadar mengutip satu mata pada perlawanan sulung Kumpulan A
apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Liga Perdana, Johor di Stadium
Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Mereka bakal berdepan tugas berat apabila melayani kunjungan ATM hari
ini, kerana lawan kembali mendapat sentuhan penyerang import
berbisanya, Grenadines, Marlon Alex James.
Perkara itu disedari oleh Irfan namun beliau tidak gentar,
sebaliknya yakin Selangor akan menambah sengsara ATM buat kali kedua
berturut-turut dengan kejayaan meraih tiga mata pertama di tempat
sendiri.
Saya tahu ATM pasti akan tampil dengan karakter berbeza apabila
bertemu kami nanti tetapi saya tidak terlalu bimbang kerana kami juga
mempunyai azam yang sama untuk bangkit apatah lagi kami beraksi di
tempat sendiri.
Kami akan tampil dengan persembahan yang lebih agresif dan tidak
lagi mengulangi kesilapan seperti mana kita berdepan Johor tempoh hari.
Dalam perlawanan itu, pemain-pemain kami terlalu mengikut rentak lawan terutama pada separuh masa pertama," ujarnya lagi.
Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan
di Shah Alam musim ini, Selangor unggul dengan kemenangan pada pusingan
pertama Piala FA melalui sepakan penalti 3-2 selepas terikat 2-2
sehingga masa tambahan.
Mereka juga menang 2-1 dalam saingan Liga Super, 21 Jun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan