|
PENGENDALI sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah tetap merendah
diri selepas anak-anak buahnya mengejutkan Terengganu 2-0 pada aksi
sulung Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Ridzuan menganggap skuad Hoben Jang Hoben yang dilabel sebagai
pasukan underdog selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini
bernasib baik meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.
"Tidak ada aksi yang luar biasa. Semuanya biasa-biasa sahaja. Cuma aksi barisan hadapan kami agak menjadi malam tadi (kelmarin).
"Penyerang (Fabio Leandro Barbosa) dan pemain tengah (S. Sivanesan) tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang.
"Abdul Halim (Zainal), Mohd. Nazrin (Mohd. Nawi) dan beberapa pemain
lain turut bermain dengan baik sepanjang perlawanan itu," kata Ridzuan
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada aksi kelmarin, Leandro Barbosa meletakkan pasukan pelawat di
depan pada minit ke-38 sebelum Sivanesan menambah gol kedua pada minit
ke-53, kedua-duanya hasil lorongan pemain tengah, Eddy Helmi Abdul
Manan.
Skuad Penyu berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan apabila
Abd. Manaf Mamat dikasari pemain pertahanan Negeri Sembilan, sekali gus
dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82.
Bagaimanapun, penjaga gawang Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim berjaya mengekang rembatan kencang Manaf.
Ridzuan berkata, kemenangan itu sangat penting terutama dalam usaha
Negeri Sembilan mencari momentum bagi mengharungi baki saingan peringkat
kumpulan selepas ini.
"Bukan kami sahaja yang melakukan kejutan malam tadi (kelmarin).
Beberapa pasukan lain turut melakukan kejutan. Ini merupakan perlawanan
pertama dan semua pasukan cuba untuk mencari keserasian.
"Masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kami tidak boleh terlalu gembira," jelas Ridzuan.
Mengulas aksi kedua Kumpulan C menentang Pahang di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Ridzuan berkata, anak-anak buahnya sekali
lagi turun selaku underdog kerana mereka tidak pernah menewaskan skuad
kendalian Dollah Salleh itu sepanjang musim ini.
"Pahang sudah pasti dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod
pertemuan kami musim ini. Bagaimanapun, kami akan mencuba untuk
melakukan satu lagi kejutan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan