LONDON - Pemain pertahanan Atletico Madrid, Diego Godin mengakui
bahawa dia mengarahkan rakan sepasukan, Miranda supaya melakukan
terjahan kepada Lionel Messi pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal
Khamis lalu.
Pada aksi yang berkesudahan 1-1 di Stadium Vicente Calderonitu itu,
bintang Barcelona, Messi terpaksa dikeluarkan ketika rehat selepas
mengalami kecederaan paha.
Pemeriksaan yang dilakukan ke atas penyerang Argentina itu mendapati dia mengalami kecederaan pada tendon otot paha kirinya.
Pengulas televisyen mendapati Godin memberitahu rakan sepasukannya
itu supaya menendang belakang paha Messi selepas dia berjalan
terhencot-hencot kerana kesakitan.
Messi pernah mengalami masalah ditempat yang sama sebelum ini dan
hanya beraksi selama 90 minit dalam satu perlawanan sejak cedera pada
aksi suku akhir Liga Juara-Juara, April lalu.
Rakaman televisyen itu tersebar dengan pantas dalam kalangan media
Sepanyol dan antarabangsa, sekali gus menyaksikan kapten Uruguay itu
dikritik hebat berikutan tindakannya itu.
Begitupun, Godin tampil dalam satu temu bual memberitahu bahawa
perkara itu adalah sebahagian daripada adat resam dalam permainan bola
sepak.
"Tindakan itu hanya bermotifkan bola sepak semata-mata dan mereka
yang bermain bola sepak sahaja yang akan tahu apa maknanya," kata Godin.
"Saya lihat dia menyentuh pahanya yang sakit itu. Jadi, saya beritahu
rakan sepasukan saya supaya mereka tahu di mana mereka perlu memberi
tekanan ke atas pemain itu.
"Kami komited dengan permainan kami iaitu kami akan cuba merampas setiap bola dan itulah yang membuatkan kami menang," katanya.
Messi tidak bermain pada aksi Liga Sepanyol bertemu Malaga awal pagi
semalam, namun dia mungkin akan diturunkan pada aksi kedua Piala Super
Sepanyol menentang Atletico di Stadium Nou Camp awal pagi Khamis depan. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan