|
PAHANG berjaya mengikat juara bertahan, Kelantan dengan keputusan
seri 1-1 pada saingan pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium
Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Pada awal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat berusaha mengasak ke arah kubu lawan bagi mencari gol awal.
Pada minit kelapan, Kelantan memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi.
Percubaan terbaik skuad Tok Gajah muncul pada minit ke-17 apabila
Matias Ruben Conti berjaya menanduk bola ke gawang lawan selepas
menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun ia sedikit tinggi
melewati palang.
Pada minit ke-36, penyerang berbisa Kelantan, Indra Putra Mahayuddin
pula berjaya melepasi benteng pertahanan Pahang tetapi rembatannya
melepasi tiang gol.
Empat minit sebelum babak pertama berakhir, pemain tengah Pahang,
Mohd Amirulhadi Yahya pula merembat dari luar kotak penalti, namun
percubaannya itu sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Pahang dan Kelantan bermula garang untuk mencipta jaringan.
Namun, rentak Kelantan sedikit terencat apabila terpaksa beraksi 10
pemain selepas Fakri Sharani dikenakan kad merah setelah dia mengasari
Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.
Pada minit ke-80, suasana perlawanan makin panas. Kini, giliran
Pahang pula tempang apabila R. Surendran menerima kad merah kerana
mengasari tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin.
Pada minit ke-85, pemain import Pahang, Damion Delano Stewart
akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk menyamakan kedudukan 1-1
menerusi tandukan kencang bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul
Fahmi Che Mat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan