|
IMEJ Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) sekali lagi menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pemerhati dan peminat tempatan.
Semuanya gara-gara beberapa aksi meragukan dalam kempen Piala
Malaysia yang baru berlangsung tiga perlawanan peringkat kumpulan
membabitkan 16 pasukan.
Antara kejutan yang berlaku setakat ini sudah pasti melibatkan
prestasi hambar beberapa pasukan elit, antaranya Lions XII dan Selangor.
Selaku juara Liga Super, Lions XII sekadar mampu meraih satu mata,
sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan D di
belakang Perak, Sarawak dan Kedah.
Selangor yang tampil selaku juara Piala Malaysia 32 kali turut
mengalami kemerosotan prestasi apabila terperosok dalam saingan Kumpulan
A di belakang Sime Darby, Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Berbeza pula dengan nasib dua pasukan berstatus kelab iaitu Selangor
PKNS dan Sime Darby yang dilihat lebih bergaya apabila masing-masing
mengungguli Kumpulan A dan Kumpulan B.
Elemen-elemen kejutan itu mula membuatkan sesetengah pihak membuat
andaian bahawa arena bola sepak Malaysia kini kembali dilanda gejala
rasuah sebagaimana tahun 1995.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat memberitahu, setakat ini belum ada
mana-mana pemain atau pegawai bola sepak didakwa atas kesalahan gejala
rasuah.
Sebaliknya, Aseh berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau aktiviti
pemain dan pegawai pertandingan dari semasa ke semasa.
“Saya tidak dapat mengesahkan kesahihan (rasuah) tetapi saya
terdengar ‘cakap-cakap belakang’ mengenai situasi bola sepak kita
sekarang.
“FAM dan SPRM telah memantau perkembangan bola sepak negara dan buat
masa ini, pihak kami tidak terima sebarang aduan berhubung kes rasuah,”
kata Aseh ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Aseh berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak
supaya lebih berani tampil memberikan maklumat atau bukti kepada pihak
berkuasa jika benar gejala rasuah berlaku.
“Kami sentiasa bersedia menerima maklumat daripada pihak pengadu atau
sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat. Cuma saya minta pengadu itu
harus bertanggungjawab dengan setiap maklumat yang diberikan.
“Ini bukan satu masalah baharu. Jangan jadi seperti baling batu
tetapi sorok tangan di belakang. Perkara sebeginilah menyebabkan
siasatan kami tergendala.
“Jangan risau, identiti dan keselamatan mereka kekal selamat dan itu janji saya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin
menambah, badan induk itu sentiasa memantau setiap perlawanan bagi
mengelak daripada sebarang unsur rasuah.
“Sekiranya kami menerima maklumat sahih berhubung gejala rasuah, kami
tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.
“Buat masa ini, kami telah bekerjasama dengan pihak SPRM bagi
membendung gejala rasuah daripada kembali menular dalam liga bola sepak
tempatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan