HONG KONG - Bintang handalan China, Lin Dan membidas Persekutuan
Badminton Dunia (BWF) yang seakan-akan mahu menafikan haknya meraih
gelaran kelima pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China minggu
lalu.
Biarpun tampil atas tiket wildcard, Lin Dan, 29, membuktikan
betapa dia masih layak bergelar juara apabila membenam jaguh negara,
Datuk Lee Chong Wei 21-16, 13-21, 17, 20 pada aksi final di Gimnasium
Tianhe.
Bagaimanapun, kejayaan Lin Dan itu diselubungi kontroversi ekoran
masalah penghawa dingin yang dikatakan sengaja ditutup oleh pihak
penganjur.
Seorang saksi memberitahu, penghawa dingin ditutup ketika set kedua
bermula apabila Lin Dan bertukar ke bahagian gelanggang yang berangin.
Lin Dan yang tewas pada set pertama memenangi set kedua sebelum
mengesahkan kejuaraan apabila Chong Wei terpaksa menarik diri selepas
mengalami kekejangan paha pada penghujung permainan set ketiga.
Sebelum ini, jurulatih Chong Wei, Tey Seu Bock menyalahkan tindakan
penganjur yang menutup penghawa dingin sehingga menyebabkan suhu di
gimnasium itu meningkat, sekali gus menyukarkan Chong Wei sukar untuk
bernafas dan mengalami masalah penghidratan.
"Pertama, anda tidak perlu bertanya (tentang masalah penghawa dingin)
kerana apabila saya berada di gelanggang, saya tidak menyedari apa yang
berlaku.
"Kedua, saya rasa keadaan (suhu meningkat) itu benar. Ketiga dan
paling penting, jika penghawa dingin ditutup, ia sepatutnya meningkatkan
lagi tahap permainan para pemain," tegas Lin Dan.
Lin Dan berkata, isu tersebut tidak boleh dijadikan sebagai alasan jika seseorang pemain itu mengalami kekalahan.
"Masih ramai termasuk (wakil) BWF sendiri tidak faham masalah utama
dalam sukan badminton dan apa yang pemain perlukan. Ini kerana
kebanyakan pegawai kejohanan bukan daripada pemain-pemain badminton.
"Masalah paling besar dalam badminton ialah arah angin dan lampu.
Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, ia akan menjejaskan prestasi
pemain-pemain di gelanggang.
"Jika prestasi pemain-pemain terjejas disebabkab faktor-faktor ini,
ia akan menyebabkan mereka tidak berpuas hati ketika berada di
gelanggang.
"Bukan sahaja para pemain yang akan kecewa tetapi perkara yang sama
turut dialami para peminat dan penonton-penonton," tambah Lin Dan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan