MADRID - Real Madrid sudah mula 'menjual' Gareth Bale apabila jersi
yang tertera nama bintang antarabangsa Wales itu sudah mula berada di
pasaran semalam, meskipun pemain tersebut masih miliki Tottenham.
Difahamkan, rundingan di antara gergasi bola sepak Sepanyol itu dan
Tottenham kini berada di peringkat akhir serta bersedia untuk mencapai
persetujuan dalam tempoh terdekat, namun Bale masih belum berpindah atau
mengorak langkah untuk ke Bernabeu.
Akhbar Britain, Telegraph melaporkan, Bale dijangka melengkapkan perjanjian rekod dunia bernilai 93 juta pound (RM479.46 juta) pada hujung minggu ini.
Akhbar yang berpengkalan di Madrid, Marca dan AS pula
menyiarkan gambar yang diambil daripada laman web Real, mempamerkan
jersi No. 11 yang bakal dipakai oleh Bale yang sudahpun berada di
pasaran.
AS bagaimanapun berkata, penjualan jersi tersebut dilakukan oleh pengeluar sukan, Adidas sendiri bukan oleh kelab.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy dilaporkan telah mengadakan rundingan
peringkat akhir dengan Real sejak dua hari lalu untuk dan persetujuan
sudah dicapai, namun ia cuma melibatkan Bale dan tiada pemain lain
terlibat.
Real sebelum ini menawarkan beberapa pemainnya sebagai pertukaran untuk Bale.
Namun Spurs menegaskan, rundingan setiap pemain harus diadakan secara
berasingan, termasuk yang melibatkan tonggak pertahanan Portugal, Fabio
Coentrao.
Perpindahan Bale dijangka tertangguh hingga Khamis depan kerana Real
mengharungi perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Saad, yang
merupakan pasukan kepada bekas penyerang mereka, Raul. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan