Isnin, 26 Ogos 2013

'Saya tabik pemain, penyokong'

Berita Harian
 
Cardiff: Congakan Malky Mackay yang membelanjakan 28 juta pound (RM143.9 juta) untuk pembelian pemain baru bagi mengelak Cardiff City daripada tersingkir jelas berbaloi ketika ini.

Pasukan dengan jolokan The Blue Birds mencipta kejutan terbesar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini selepas menewaskan barisan kaya, Manchester City 3-2 di gelanggang sendiri kelmarin yang turut menyaksikan pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan dari Malaysia tersenyum lebar tanda puas hati.
Saya benar-benar gembira. Untuk semua orang di kelab ini, hari ini (kelmarin) adalah sesuatu yang sudah lama ditunggu-tunggu.


Ia cukup bermakna untuk semua di sini sejurus wisel penamat ditiup. Saya perlu akui cukup bangga dengan semua orang di sini. Sudah tentu saya bangga dengan pemain tetapi penyokong juga tidak boleh dilupa. Mereka bersama-sama ketika mengharungi waktu sukar, kata Mackay.

Pellegrini salahkan benteng

Jaringan penyamaan Aron Gunnarsson disusuli dua tandukan Fraizer Campbell memberi kesukaran buat City yang terlebih dulu di hadapan hasil jaringan Edin Dzeko dan biarpun berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Alvaro Negredo pada masa kecederaan, ia sudah terlewat.

Namun, ia bukan hari yang menggembirakan buat pasukan pelawat biarpun pengurus City, Manuel Pellegrini tidak mahu menyalahkan barisan pertahanannya.
Saya tak rasa pertahanan menjadi punca kekalahan ini. Tiada masalah di posisi pertahanan tengah. Cardiff tidak memberikan banyak masalah tetapi perlawanan ditentukan menerusi dua sepakan penjuru lawan itu.

Kemenangan 51 tahun

Cara bertahan adalah tugas seluruh pasukan, bukan hanya penjaga gol atau pemain pertahanan. Tidak kiralah siapa yang bersalah.

Apabila kami menjaringkan gol pertama, saya fikir ia akan menjadi lebih mudah kerana kami berdepan lawan yang meletakkan 10 pemainnya di kawasan sendiri. Tapi kami pula gagal bermain dengan baik, kata Pellegrini.

Selepas tewas 2-0 kepada West Ham minggu lalu, kejayaan menumpaskan City itu adalah kemenangan pertama Cardiff di liga tertinggi itu selepas kali terakhir melakukannya pada 1962. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan