Ahad, 18 Ogos 2013

'Artikel 88 tidak patut wujud'


PRESIDEN FAM, Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) mempengerusikan Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur kelmarin.


SEGALA yang 'terbuku' di hati bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya diluahkan sebaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 kelmarin.

Biarpun gembira dengan keputusan FAM meminda artikel berkenaan, Shahidan mengakui bahawa artikel itu tidak sepatutnya diwujudkan.

Ini kerana menurut beliau, Artikel 88 yang hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM memberikan kenyataan media berhubung badan induk itu adalah sesuatu yang tidak relevan sama sekali.

"Saya menyambut baik tindakan FAM yang akhirnya membuat keputusan meminda artikel berkenaan, namun bagi saya, artikel berkenaan sepatutnya tidak ada dari dulu lagi.

"Ini kerana jawatan Setiausaha Agung (FAM) sebenarnya dilantik dan bukannya dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

Menurut beliau, semua pegawai atau ahli gabungan FAM kini dibenarkan 'bersuara' selepas Kongres FAM bersetuju skop-skop tertentu dalam akta itu akan lebih diperluaskan dan persetujuan tersebut dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, mereka tetap wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Pada 20 Februari lalu, Shahidan dikenakan penggantungan selama dua tahun setengah dan didenda RM39,000 kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88.

Selain Shahidan, antara 'mangsa' yang pernah dihukum di bawah Artikel 88 sebelum ini termasuklah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Justeru, Shahidan menggesa FAM supaya menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap beliau dan juga kesemua individu yang disabitkan dengan kesalahan yang termaktub dengan Artikel 88 sebelum ini.

"Bukan sahaja menarik balik hukuman, saya juga mahu denda duit syiling yang dibayar sebelum ini juga dipulangkan," tegasnya.

Pada masa sama, Shahidan juga berharap FAM bertindak lebih adil sebaik artikel berkenaan dipinda selepas ini.

"Persatuan negeri tidak pernah memusuhi FAM, sebaliknya kami berada di bawah 'payung' mereka.
"Jadi kenalah berlaku adil selepas ini... janganlah yang kata sikit kena hukuman banyak tetapi yang kata banyak pula kena hukuman sedikit," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan