MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini yakin Edin
Dzeko sudah bersedia untuk menampilkan potensi sebenarnya di Eastlands.
Dzeko menyertai City dari Wolfsburg dengan yuran perpindahan sebanyak
£27 juta (RM139.3 juta) pada Januari 2011, namun penyerang Bosnia itu
bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama skuad The Citizens.
Penyerang berusia 27 tahun itu menjadi penjaring terbanyak City musim lalu selepas meledakkan 14 gol.
Bagaimanapun, spekulasi tetap tersebar mengenai perpindahannya ke
kelab lain selepas ketibaan beberapa pemain berprofil tinggi seperti
Alvaro Negredo dan Stevan Jovetic musim panas lalu.
Begitupun, Dzeko beraksi dengan baik ketika City menang 4-0 ke atas
Newcastle United pada aksi pertama Liga Perdana England di Stadium
Etihad awal pagi semalam, sekali gus meyakinkan Pellegrini bahawa dia
mampu menampilkan kemampuan sebenarnya sebagai penyerang utama di kelab
itu.
"Saya mempunyai keyakinan penuh kepada Dzeko. Dia tidak bernasib baik
kerana gagal menjaringkan gol ketika menentang Newcastle meskipun dia
memiliki banyak peluang dan beraksi dengan baik.
"Kami tahu dia seorang pemain yang hebat ketika memegang bola.
"Dia bekerja keras untuk merampas semula bola. Selain itu, dia turut
memperoleh tiga atau empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
"Saya yakin, kami akan dapat melihat penampilan sebenar Dzeko musim
ini seperti mana ketika City membelinya dari Wolfsburg dua tahun lalu,"
kata Pellegrini.
Pada aksi awal pagi semalam, David Silva meletakkan City di depan
pada minit keenam sebelum Sergio Aguero menggandakan jaringan pada minit
ke-22.
Yaya Toure menambah gol ketiga pada minit ke-50 sebelum Samir Nasri menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-75. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan