PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk meminda Artikel
88 Statut FAM 2010-2014 bagi membolehkan para pegawai selain daripada
Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media berhubung
badan induk bola sepak negara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi
Hamzah berkata, persetujuan itu dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Hotel
Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Kini, semua pegawai atau ahli gabungan FAM dibenarkan ‘bersuara’
selepas Kongres FAM bersetuju terhadap skop-skop tertentu dalam akta
tersebut diperluaskan lagi.
Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi syarat-syarat yang telah
ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada
pihak media.
Afandi berkata, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.
“Kongres telah bersetuju untuk meminda Artikel 88 yang mana Statut FAM tersebut diperluaskan sedikit.
“Kini, Artikel 88 membenarkan Presiden, Setiausaha Agung dan
mana-mana pegawai FAM yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM
untuk membuat kenyataan akhbar tetapi tertakluk kepada beberapa syarat
yang telah ditetapkan.
“Sebagai contoh, mereka harus menggunakan saluran tertentu jika ada
perkara berbangkit untuk dikritik, namun perlu berbincang dengan FAM dan
bukannya pihak media.
“Selain itu, mereka turut dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM akan membuat garis panduan mengenai
kenyataan akhbar dan garis panduan Artikel 88 ini, dan ia akan diedarkan
kepada semua ahli gabungan FAM menerusi konteks kenyataan akhbar.
“Langkah ini diambil supaya tidak timbul lagi segala permasalahan khususnya yang berkaitan dengan Artikel 88,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Hamidin Mohd. Amin dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Antara ‘mangsa-mangsa’ yang menerima hukuman di bawah Artikel 88
adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, (Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, (bekas
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Skrip yang sama turut menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan
yang digantung di bawah artikel tersebut ekoran mengkritik saingan liga
tempatan pada 2009.
Dalam perkembangan sama, Afandi turut mengumumkan bahawa FAM telah
meminda Artikel 68 bagi membolehkan mana-mana kes dibawa ke mahkamah.
Begitupun, FAM hanya membenarkan setiap kes yang mahu dibawa ke
mahkamah perlu diadili badan induk persatuan itu sebelum dibawa ke
peringkat lebih tinggi.
Afandi menegaskan, pihak-pihak tertentu akan digantung seumur hidup
atau paling minimum setahun sekiranya tidak melaporkan perkara itu
kepada pihak FAM.
“Begitu juga dengan Artikel 68 yang turut dikembangkan. Jika dahulu,
Artikel 68 menetapkan tiada sebarang kes boleh dibawa ke mahkamah tetapi
bergantung kepada kes tanpa menyatakan apakah kesannya.
“Pindaan tadi menetapkan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke mahkamah
tanpa menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan, tindakan boleh
diambil.
“Ertinya, mana-mana pertikaian berlaku dalam bola sepak, perlu
diselesaikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Contohnya, jika berlaku
pertikaian mengenai kontrak pemain dan pasukan, kes ini tidak boleh
terus dibawa ke mahkamah.
“Pemain atau pasukan itu perlu menggunakan saluran yang ditetapkan
seperti mengemukakan laporan kepada FAM. Kalau perkara itu berlaku tanpa
merujuk FAM, pemain atau pasukan ini akan terdedah dengan tindakan
susulan daripada FAM.
“Dalam proses tersebut, mana-mana pihak yang tidak mengikut saluran
iaitu terus membawa perkara itu ke mahkamah, dia akan gantung seumur
hidup atau setahun minimum.
“Mereka tidak mengikut kronologi dalam ruang membela diri kerana
terus pergi ke mahkamah tetapi pihak-pihak itu masih boleh buat rayuan
kepada kongres,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan