Ahad, 18 Ogos 2013

Ismail bakar semangat Terengganu



ISMAIL (kanan) terpaksa 'berehat' panjang selepas dikenakan penggantungan selama tiga bulan.


PERASAAN terkilan masih menyelubungi pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi apabila tidak dapat turun beraksi membantu skuad Penyu mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Ini kerana Ismail terpaksa menjalani penggantungan tiga bulan selepas menerima kad merah ketika Terengganu menentang Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 11 Mei lalu

Ketika insiden itu, Ismail, 27, mengasari dan menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada pengadil perlawanan.

Ismail berkata, dia berasa amat kecewa kerana digantung selama tiga bulan, seterusnya tidak dapat memberi khidmat kepada Terengganu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan sendiri sehingga digantung selama tiga bulan. Ia menutup terus peluang saya untuk bersama-sama rakan sepasukan bersaing pada Piala Malaysia.

“Harapan saya kepada pemain-pemain yang diberi tanggungjawab oleh jurulatih untuk mengisi kekosongan di posisi saya agar dapat beraksi dengan cemerlang membantu pasukan bagi merebut kembali Piala Malaysia,” kata Ismail.

Terengganu akan membuka tirai Piala Malaysia melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Skuad kendalian E. Elavarasan itu diundi dalam Kumpulan C yang dianggap ‘kumpulan maut’ apabila perlu berdepan juara bertahan, Kelantan selain Pahang dan Negeri Sembilan.

Ismail memberitahu, penggantungan tersebut memberi pengajaran berguna kepada dirinya dan boleh dijadikan iktibar kepada rakan-rakan lain agar mengawal emosi ketika perlawanan.

Dia berkata, para pemain perlu sentiasa menerima teguran dan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan ketika berada di tengah padang.

“Saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi dalam perlawanan akan datang dan ingin memohon maaf kepada pasukan serta penyokong Terengganu.

“Ini kerana tindakan melulu itu menyebabkan saya tidak dapat membantu Terengganu dalam saingan Piala Malaysia musim ini,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan