ISTANBUL - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui anak-anak buahnya
perlu mengelak daripada mengalami kekalahan yang memalukan pada aksi playoff pertama Liga Juara-Juara menentang Fenerbahce di Instanbul awal pagi esok.
Reputasi skuad The Gunners tercalar selepas dikejutkan dengan
kekalahan 1-3 kepada Aston Villa pada aksi pembukaan Liga Perdana
England di Stadium Emirates, Sabtu lalu.
Persembahan tidak menyakinkan Arsenal ketika menentang Villa menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat-peminat.
Kini, mereka menyalahkan Wenger yang gagal mengotakan janji untuk
memperkuatkan pasukan dengan mendapatkan pemain-pemain baharu yang
berkualiti.
Selepas kemarau trofi selama lapan tahun, Wenger dan barisan pemain menyedari skuad The Gunners bakal berdepan ancaman hebat pada penyokong sendiri sekiranya gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Selain itu, krisis kecederaan pemain turut menyukarkan misi Wenger
terutamanya apabila hanya mempunyai lapan pemain senior disahkan cergas
sepenuhnya.
Perancang England, Alex Oxlade-Chamberlain dijangka berehat selama beberapa bulan selepas ditimpa kecederaan lutut yang serius.
Selain itu, Kieran Gibbs, Bacary Sagna, Thomas Rosicky dan Aaron
Ramsey menyertai Mikel Arteta, Nacho Monreal dan Thomas Vermaelen yang
sebelum ini ditimpa kecederaan pangkal paha.
Situasi itu meletakkan Wenger dalam situasi tertekan untuk mengintai kemenangan di Turki.
"Kami terlepas banyak peluang (ketika menentang Villa) dan nasib
tidak menyebelahi kami selain menghadapi krisis kecederaan pemain.
"Jika diambil kira ketiga-tiga masalah itu, jelas menunjukkan bahawa
Arsenal dalam keadaan bahaya tetapi saya tidak mahu kelemahan itu
menjadi bebanan kepada kami.
"Saya yakin, Arsenal akan memberikan satu persembahan yang
menyakinkan sekiranya kami berjaya bangkit daripada kekalahan (di tangan
Villa).
"Selepas aksi mengecewakan pada perlawanan pertama liga, ia akan
menyulitkan usaha kami tetapi kami akan kembali di landasan sebenar
kerana semangat dan fokus pasukan ini sangat baik," kata Wenger. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan