|
"SAYA akui kesilapan saya, saya juga sudah banyak belajar daripada
kesilapan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu tahun depan."
Demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ),
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas
mengenai prestasi Johor Darul Takzim (DT) yang gagal beraksi cemerlang
meskipun dibarisi beberapa pemain bertaraf bintang.
Kelmarin, Johor DT turut melakar keputusan menghampakan apabila tewas
mengejut 0-2 di tangan Selangor PKNS pada aksi sulung Kumpulan B Piala
Malaysia di Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Tunku Ismail tetap berkeyakinan bahawa Johor DT akan bangkit, sekali gus menjadi pasukan terbaik musim depan.
"Bagi saingan Liga Malaysia musim depan, kami sudah bersedia untuk
melakukan perubahan termasuk mencari pemain yang hatinya bermain untuk
pasukan dan bukan hanya mengambil gaji tiap-tiap bulan.
"Saya yakin pada 2014, Johor DT akan tampil dengan impak lebih besar
berbanding 2013," titah baginda pada pada sidang akhbar selepas
memperkenalkan jurulatih yang juga pengurus paJohor DT yang baharu,
Cesar Ferrando Jiminez dan seorang pemain import baharu dari Sepanyol,
Braulio Nobrega Rodriguez termasuk jurulatih taktikal, Andres Tevar.
Tunku Ismail menegaskan, bagi mencapai status pasukan terbaik, banyak
transformasi perlu diolah dan dilakukan oleh skuad Harimau Selatan.
"Saya mahu ubah semua dan untuk mengubah semua, saya memerlukan seseorang yang profesional dan berpengalaman," katanya.
Mengulas mengenai pengunduran Fandi Ahmad selaku pengurus Johor DT,
Tunku Ismail sekali menegaskan, keputusan itu dicapai atas persetujuan
bersama antara PBNJ dan legenda bola sepak Singapura itu.
Menurut Tunku Ismail, Fandi telah berjaya membawa perubahan besar
untuk kemajuan dan pembangunan bola sepak negeri Johor musim ini.
"Kemajuan dan perubahan tersebut dapat dilihat dengan jelas apabila
Johor DT berjaya menduduki tempat ketiga dalam Liga Super dan menjadi
naib juara Piala FA.
"Bagi saya, Fandi tidak gagal kerana berjaya membawa kemajuan, para
pemain juga tidak gagal, apa yang sudah diberikan olehnya adalah sesuatu
yang sangat dihargai," jelas Tunku Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan