Sabtu, 31 Ogos 2013

Bangkit atau tersingkir

PEMAIN Perak, Sharul Nizam (kanan) bersaing dengan Faritz Hameed dari LionsXII ketika mengejutkan juara Liga Super itu 1-0 di Stadium Perak, Selasa lalu. 
 
KUALA LUMPUR - Selepas banyak kejutan menimpa pasukan utama pada pusingan pertama Piala Malaysia, pusingan kedua peringkat kumpulan berlangsung hari ini dengan persoalan yang berlegar, mampukah gergasi-gergasi bola sepak tempatan bangkit. 

Tumpuan utama pasti kepada juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor yang menerima tamparan hebat ekoran peletakan jawatan jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim gara-gara kekalahan kedua yang dialami pasukannya dalam Kumpulan A. 

Selangor, yang kini menghuni tangga tercorot selepas seri sekali dan kalah dua kali akan meneruskan perjuangan di bawah jurulatih sementara, P. Maniam.

Satu lagi kekalahan akan menipiskan peluang Red Giants untuk meneruskan misi memburu gelaran ke-33.

Begitupun, selepas dimalukan 3-0 oleh Sime Darby, Selasa lalu, pertemuan ulangan dengan skuad bimbingan Ismail Zakaria yang kini menerajui Kumpulan A akan memberi kesan psikologi kepada pemain-pemain gergasi merah.

Satu lagi kelab gergasi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghuni tempat ketiga juga perlu menang ke atas Johor hari ini jika tidak mahu ditimpa nasib malang tersingkir awal. 

Selain Selangor dan ATM yang tidak menyerlahkan kemampuan sebenar pada pusingan pertama, juara Liga Super, LionsXII juga mengharungi kempen Piala Malaysia yang hambar.

Skuad kendalian V. Sundramoorthy itu serba tidak menjadi dalam kempen awal dengan menghuni tangga tercorot Kumpulan D selepas sekadar meraih satu mata hasil keputusan seri 2-2 menentang Kedah, 20 Ogos lalu. 

Namun begitu, LionsXII dijangkakan bangkit apabila dua perlawanan selepas ini, termasuk bertemu Perak hari ini diadakan di stadium keramat mereka, Stadium Jalan Besar yang menjadi igauan buat semua pasukan.

Perak bagaimanapun sudah pasti tidak akan memberi peluang kepada LionsXII kerana mahu mengekalkan kedudukan peneraju. 

Juara Liga Perdana, Sarawak yang menghuni tangga kedua pula akan bertemu Kedah di Kuching.
PKNS Selangor yang mencuri tumpuan dalam kempen awal Piala Malaysia mampu mengekalkan teraju Kumppulan B jika mengalahkan Felda United. 

Johor Darul Takzim pula harus menang ke atas wakil Terengganu, T-Team di tempat sendiri andai tidak mahu ditinggalkan jauh oleh PKNS.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan