Selasa, 3 Disember 2013

Arsenal sudah nampak sinar


LONDON - Mikel Arteta percaya Arsenal telah mempamerkan karakter sebenar bagi memburu trofi Liga Perdana England musim ini.
Kemenangan 2-0 ke atas Cardiff City tempoh hari meletakkan skuad kendalian Arsene Wenger kini memiliki kelebihan empat mata di takhta liga menjelang aksi melayan kunjungan Hull City di Stadium Emirates awal pagi esok.

Ketika ini, The Gunners dicabar hebat tiga seteru utama - Chelsea, Manchester United dan Manchester City.

Kejayaan menerajui liga ketika ini jelas menggembirakan peminat selepas kali terakhir mereka mendakap trofi liga pada 2004.

Biarpun timbul persoalan sama ada The Gunners mampu mengekalkan kelebihan itu sehingga penghujung musim ini, Arteta sebaliknya percaya apa yang lebih penting, mereka kini berjaya mempamerkan aksi terbaik setakat ini.

Menurut Arteta, kejayaan mengatasi Cardiff sudah berjaya membuktikan segala-galanya.
"Setiap perlawanan di tempat lawan pastinya mencabar.

"Cardiff berjaya mengikat United selain mengecewakan City. Ia sudah menceritakan segala-galanya.
"Jadi, kami seolah-olah telah lulus ujian sebaik mengatasi Cardiff tempoh hari," kata Arteta.
Arteta turut memuji kecemerlangan rakan sepasukannya, Aaron Ramsey ketika berdepan Cardiff tempoh hari.

"Ramsey memiliki prestasi semasa yang menakjubkan.
"Saya percaya dia mampu mengulanginya ketika berdepan Hull City nanti," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan