Ahad, 15 Disember 2013

Harimau belum selesa


BARISAN pemain Harimau Muda melambaikan tangan ke arah penyokong selepas tamat perlawanan menentang Singapura di Stadium Zeyyer Thiri semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Harimau Muda memilih laluan sukar untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas seri 1-1 dengan Singapura pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Keputusan seri itu menyebabkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh kalah kepada Vietnam pada aksi terakhir esok.

Ketika ini, Singapura berjaya mengumpul lapan mata untuk memimpin kedudukan teratas, manakala Harimau Muda yang kurang satu perlawanan di tempat kedua dengan tujuh mata.

"Pemain-pemain sudah bermain bersungguh-sungguh. Meskipun kami gagal mengutip tiga mata penuh, saya tetap berpuas hati kerana berjaya memperoleh satu mata.

"Kami tidak bermain untuk seri dan bertahan sepanjang masa tetapi kami tetap melancarkan serangan yang bertali arus. 

"Namun, nasib tidak menyebelahi kami meskipun kami memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan lebih banyak gol.

"Seperti mana yang kita tahu, Singapura adalah sebuah pasukan yang kuat terutamanya ketika dalam situasi bola mati. Mereka berjaya mendapatkan sepakan percuma dan situasi itu yang menyebabkan kami kehilangan dua mata," kata Kim Swee.

Kim Swee berkata, beliau akan memikirkan strategi yang lebih ampuh untuk menghadapi perlawanan hidup mati menentang Vietnam.

Pada aksi semalam, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan yang agak keras dan saling melancarkan serangan balas yang pantas dalam usaha memburu gol.

Empat kad kuning dilayangkan kepada pemain Harimau Muda iaitu Mohd. Zubir Mohd. Azmi, Shahrul Mohd. Saad, K. Reuben dan Mohd. Nasir Basharudin manakala satu kepada pemain Singapura, Muhammad Afiq Yunos.

Afiq menyumbat masuk gol pertama Singapura pada minit ke-60.

Tersentak dengan jaringan itu, Kim Swee melakukan pertukaran strategi dengan mengeluarkan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri untuk digantikan dengan Mohd. Rozaimi Ab. Rahman pada minit ke-67.

Empat minit kemudian, pemain sayap kanan, A. Thamil Arasu pula dikeluarkan bagi memberi peluang kepada arkitek muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Rozaimi membuktikan kehebatannya apabila meledak gol penyamaan menerusi satu sepakan percuma yang cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Vietnam membelasah Laos 5-0.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan