Isnin, 9 Disember 2013

'Elak lakukan kesilapan'



KIM SWEE (tiga dari kiri) merancang strategi bagi menghadapi Brunei hari ini ketika sesi latihan Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw petang semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad bola sepak Brunei bukan lawan sebenar Harimau Muda.
Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Zeyer Thiri petang ini.

Memenangi perlawanan pertama sangat penting buat Harimau Muda yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.

Kemenangan akan menyuntik moral pemain-pemain negara, manakala kekalahan bakal menyukarkan laluan mereka untuk memburu pingat emas hatrik pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Harimau Muda perlu menjadikan aksi menentang Brunei sebagai medan untuk menguji kemampuan sebenar kerana selepas itu mereka perlu berdepan lawan yang lebih sukar iaitu Vietnam, Singapura dan Laos pada aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara perlu mengikut jejak langkah Vietnam yang berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B kelmarin.

Meskipun Singapura dan Laos sekadar seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan tersebut.

Harimau Muda juga perlu mencatat kemenangan besar ke atas Brunei bagi memberikan 'amaran awal' kepada Myanmar dan Thailand yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.

Tuan rumah, Myanmar menewaskan Kemboja 3-0, manakala Thailand menang 3-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu memandang rendah keupayaan Brunei dan terlampau yakin bahawa mereka mampu merekodkan kemenangan besar seperti mana yang dilakukan Vietnam.

"Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh, kami akan melakukannya. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

"Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Zayyar Thiri petang semalam.

Bagaimanapun, Harimau Muda perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan dalam dua edisi lalu.
Pada aksi di Laos empat tahun lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

Harimau Muda menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 pada aksi separuh akhir sebelum memerlukan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melakar kemenangan 1-0.

Selain muncul juara dan memenangi gelaran kelima, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama 20 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

Dua tahun kemudian, Harimau Muda yang dibimbing Kim Swee menamatkan saingan dalam Kumpulan A di depan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir sebelum mengecewakan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bagaimanapun, Harimau Muda memiliki kelebihan pada edisi kali ini.

Selain mempunyai pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali berturut-turut, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Khidmat penyerang Selangor, A. Thamil Arasu dan enam pemain lain iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah) ditagih merealisasikan misi memburu 'ibu emas' Sukan SEA 2013, sekali gus melakar kemenangan hatrik.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan